Menara Tun Razak Exchange (TRX)

KUALA LUMPUR – Projek-projek pembangunan oleh Barisan Nasional (BN) yang dahulunya sering dikritik dengan pelbagai tohmahan akhirnya membuktikan sebaliknya.

Pembukaan Tun Razak Exchange (TRX), serta majlis pelancaran Menara Merdeka 118 oleh Yang di-Pertuan Agong menandakan siapnya projek-projek besar yang dimulakan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) semasa era BN.

Projek ini adalah sebahagian daripada pelan tindakan pembangunan makroekonomi negara, yang turut merangkumi projek Bandar Malaysia, HSR, dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dihidupkan semula.

TRX, terletak di dalam Bandar Malaysia, ditubuhkan untuk membangunkan Malaysia sebagai hab kewangan Asia Tenggara.

Bandar Malaysia juga menempatkan perhentian HSR KL-Singapura, bertujuan memendekkan masa perjalanan ulang-alik antara kedua-dua negara, dan memudahkan pergerakan orang ramai.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, malangnya, sejak pertukaran kerajaan pada 2018, banyak projek yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara ini termasuk projek Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) berulang kali dihalang oleh kuasa politik.

Namun, katanya, kebanyakan projek ini telah dihidupkan semula, dan tiada bukti rasuah ditemui.

“Kita harus belajar daripada sejarah dan menamatkan perbalahan politik yang sia-sia. Marilah kita mendahulukan kepentingan rakyat dan menumpukan kepada pembangunan yang menguntungkan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, adalah jelas ETP yang dimulakan pada era BN pada tahun 2010 dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Projek-projek ini terbukti boleh dilaksanakan dan membawa manfaat yang besar kepada rakyat dan ekonomi negara.

“Bagaimanapun, masa telah dibazirkan begitu sahaja dan merosakkan peluang ekonomi yang berharga akibat tindakan segelintir politikus. Ini sesuatu yang amat malang buat rakyat dan negara,” ujarnya.

Sebagai contoh, projek HSR KL-Singapura dicadangkan pada 2010, dipersetujui oleh kerajaan Singapura pada 2013, ditandatangani oleh kedua-dua negara pada 2016, kemudian ditangguhkan pada 2018 dan akhirnya ditamatkan pada 2021, dengan Malaysia membayar pampasan kepada Singapura sebanyak RM320 juta.

Beliau berharap persetujuan untuk menghidupkan semula HSR, memberikan projek itu nafas baharu.

“Kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan kepentingan terbaik negara dan rakyatnya sebagai pertimbangan utama, dan mengeluarkan butiran khusus serta pelan hala tuju untuk memulihkan projek HSR. Ini penting agar transformasi ekonomi negara dapat diteruskan.

“Oleh itu, MCA menyeru kerajaan memperincikan butiran mengenai cadangan menghidupkan semula projek HSR seterusnya membuka lembaran baharu dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya yang turut mengalu-alukan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara Malaysia dan Singapura, yang akan melengkapkan ekonomi dan kerjasama antara kedua-dua negara.

Tambahnya, untuk meningkatkan lagi hubungan persahabatan selama 59 tahun antara Malaysia dan Singapura, kerajaan harus bergerak pantas untuk memulihkan projek HSR.

“Sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai di Johor, saya juga mengalu-alukan sambungan bagi Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura.

“Projek yang dimulakan semasa era BN ini juga pernah menghadapi isu sama, tersekat di tengah jalan. Namun akhirnya dimulakan semula pada 2019 oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dengan pengiktirafan Kerajaan Perpaduan bahawa TRX dan Menara Merdeka 118 berperanan sebagai pemangkin ekonomi, HSR harus dihidupkan semula dan berupaya menghubungkan perniagaan serta menjadi kunci kejayaan Malaysia,” ujar Jeck Seng. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast