Mat rempit yang ditahan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sungai Buloh menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Foto: Facebook IPD Sungai Buloh

KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh mengambil pendekatan berbeza apabila membawa ‘mat rempit’ yang ditahan dalam Operasi Pencegahan Samseng Jalanan di Lebuhraya Guthrie, semalam menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

Dalam satu kenyataan, IPD itu memaklumkan, dalam kejadian tersebut seramai 14 mat rempit ditahan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik sebelum dibawa menunaikan solat Subuh berjemaah.

Katanya, pemeriksaan sebelum itu dijalankan melibatkan 108 penunggang motosikal.

“Sebanyak 87 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik selain 14 motosikal disita dan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan ubah suai ekzos,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, pendekatan ke arah kerohanian diterapkan kepada penunggang motosikal yang ditahan apabila kesemua mereka dibawa untuk solat Subuh berjemaah.

Kesemua mat rempit terbabit menunaikan solat Subuh diimamkan Pegawai Penyiasat BSPT Sungai Buloh, Inspektor Che Hassan Ambok.

“Penerapan elemen kerohanian diterapkan kepada kesemua remaja ini bagi memberikan kesedaran dan pentingnya menghargai nyawa.

“Pihak polis sentiasa mengutamakan kepentingan pematuhan undang-undang jalan raya,” ujarnya. – MalaysiaGazette