MELAKA – Kerajaan melancarkan program Sesi Advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT) bagi meningkatkan kesedaran dan komitmen peniaga untuk mematuhi semua kod etika dan perundangan.
Inisiatif di bawah teras strategi ketangkasan penguatkuasaan itu antaranya bertujuan membanteras peniaga ‘tamak’ khususnya di empat negeri yang terlibat dengan tahun melawat negeri 2024.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, empat negeri terbabit adalah Melaka, Perak, Perlis dan juga Kelantan.
“Negeri-negeri ini yang akan kita fokuskan program advokasi Biz-BERKAT antaranya supaya peniaga tidak menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah atau margin untung yang terlalu tinggi.
“Kita akan membuat risikan kita dan ada cara untuk mengenal pasti kenaikan melalui kaedah-kaedah tertentu termasuklah daripada resit-resit sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program walkabout di Jonker Walk di sini malam tadi.
Hadir sama Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Choo Chin dan Pengarah KPDN negeri Norena Jaafar.
Mengulas lanjut Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, Biz-BERKAT akan diteruskan di semua negeri dan terpakai untuk semua premis perniagaan untuk meningkatkan keyakinan pelancong ke Malaysia.
“Ini penting untuk memastikan para peniaga memahami kepentingan mematuhi kod etika dan perundangan perniagaan sebagai faktor tarikan kepada pelancong.
“Ia sekali gus melonjakkan imej negeri dan negara yang kini menduduki tangga ke-12 di seluruh dunia dalam senarai negara yang paling banyak dilawati tahun lalu,” katanya.
Tambahnya, kepatuhan kepada amalan aktiviti jual beli yang beretika melalui Biz-BERKAt itu juga dapat membantu melonjakkan ekonomi perdagangan domestik dalam merancakkan industri pelancongan. – MalaysiaGazette