Datuk Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Ibu bapa diingatkan memantau pergerakan anak-anak mereka bagi mengelak menunggang motosikal tanpa lesen.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya memandang serius kemalangan membabitkan pelajar sekolah berumur 17 tahun ke bawah.

“Ini merupakan isu yang perlu ditangani bukan hanya pada pihak polis atau sekolah sahaja tetapi yang memainkan peranan utama adalah ibu bapa.

“Pertama, mereka perlu pastikan anak-anak yang tiada lesen tidak menunggang motosikal, kita juga lihat kekerapan mereka tidak mengggunakan topi keledar.

“Jadi kita ambil pendekatan dengan mengingatkan mereka dan bekerjasam dengan pihak sekolah dan PIBG supaya kesalahan lalu lintas melibatkan pelajar sekolah dapat dihentikan. Seperti kes pelajar 15 tahun yang maut akibat kemalangan, siapa harus kita persalahkan?

“Dalam hal ini, tanggungjawab utama adalah ibu bapa kerana kawalan kenderaan (motorsikal) dan kunci berada di tangan anda. Jadi punca dan didikan datang daripada rumah,” katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid bergambar bersama guru-guru Sekolah Kebangsaan Lelaki Jalan Batu untuk Program Back To School. Foto SYADILA AMARI, 16 JANUARI 2024.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran program “Back To School” di Sekolah Kebangsaan Lelaki Jalan Batu, di sini, hari ini.

Pada 14 Januari lalu, seorang pelajar Tingkatan Lima maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan beberapa motosikal lain di Kilometer (KM) 7.8 Lebuh Raya Guthrie menghala ke Shah Alam.

Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa lelaki berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan selepas tercampak ke tengah besi penghadang jalan.

Dalam perkembangan lain, Allaudeen berasa teruja kerana dapat kembali melawat sekolah rendah lamanya setelah hampir 52 tahun ditinggalkan. – MalaysiaGazette