KUALA LUMPUR – Penang FC mengumumkan bekas penyerang skuad kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli secara rasminya sebagai ketua jurulatih pasukan itu bagi musim 2024-2025.
Pengumuman itu jelas sekali bakal meniup semangat pasukan terbabit bagi mencipta keputusan positif apabila saingan Liga Super membuka tirai Mei depan.
Pengendali berusia 42 tahun itu baharu sahaja mendapat lesen kejurulatihan, AFC Pro Diploma baru-baru ini.
Sebelum ini, Akmal Rizal memegang peranan sebagai ketua jurulatih sementara untuk baki tiga perlawanan Liga Super pada musim lalu menggantikan Manzoor Azwira.
Sepanjang tempoh itu, Akmal Rizal berhasil mengemudi Penang FC mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan sekali gus menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga ke-10.