Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu telah menahan reman seorang pengurus besar sebuah lembaga pertubuhan di Terengganu kerana disyaki menggunakan jawatannya bagi meluluskan pembelian pukat serta racun serangga berjumlah lebih RM6,000 di mana beliau mempunyai kepentingan dalam urusan tersebut.

Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 22 Januari 2024 dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Yuhanis binti Mohd Roslan selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, pagi tadi.

Menurut sumber, berdasarkan siasatan awal dijalankan, suspek disyaki menggunakan isterinya dengan mengemukakan invois syarikat yang palsu dan melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2018 lagi.

“Suspek yang berusia lingkungan awal 50-an sebelum ini telah ditahan di pejabatnya di sekitar Dungun, kira-kira jam 12.05 tengah hari semalam.

“Siasatan juga akan mengenal pasti berapa banyak jumlah perolehan yang telah diluluskan suspek sejak 2018,” katanya.

Sumber berkata, dipercayai terdapat banyak kes melibatkan pegawai-pegawai di lembaga pertubuhan di negara ini yang menyalahgunakan jawatan atau kedudukan dengan meluluskan perolehan atau pembelian bagi kepentingan sendiri.

Katanya, pewartaan lembaga-lembaga pertubuhan ini sebagai badan awam sejak Mei 2023 di bawah tafsiran Seksyen 3 Akta SPRM 2009 (Akta 694) membolehkan mereka-mereka ini didakwa kerana menyalahgunakan jawatan atau kedudukan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Katanya, individu yang didapati menyalahgunakan jawatan atau kedudukan bagi tujuan suapan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun serta boleh didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi di bawah seksyen berkenaan. – MalaysiaGazette