Azman Adam

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapati modus operandi aktiviti penipuan dalam talian (scam) penjualan minyak masak bagi memperdaya mangsa dengan menggunakan laman media sosial atau memasarkannya atas talian.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, sindiket dikesan menawarkan minyak masak untuk dijual dan terdapat iklan umpanan dengan menawarkan pada harga yang lebih murah dari harga pasaran memandangkan barangan tersebut mendapat permintaan yang tinggi.

“KPDN juga telah bekerjasama dengan pengendali tapak pasar secara dalam talian dalam negara bagi memastikan aktiviti scammer serta penyelewengan minyak masak yang dilakukan secara dalam talian ini dapat diatasi dengan lebih berkesan.

“Hasilnya, sebanyak 198 iklan berkaitan penjualan barang kawalan berjadual minyak masak secara dalam talian telah dinyahturun (content removal) dalam tempoh yang sama,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Azman, kebelakangan ini KPDN sering menerima aduan daripada pengguna berkaitan sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan minyak masak paket.

Tambah beliau, penjualan dilakukan samada melalui laman sosial atau tapak pasar dalam talian bertujuan memperdaya mangsa untuk mendapatkan bekalan dan turut dikesan menawarkan dengan harga yang lebih murah.

Berikutan itu, Azman memberi amaran kepada pihak yang berurusan dengan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak masak agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah dikuatkuasakan.

Beliau berkata, kementerian itu tidak akan berkompromi dengan pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi termasuk yang dijual secara dalam talian.

“Pengguna juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam melihat tawaran iklan pembelian minyak masak paket murah yang dipaparkan kerana keadaan ini memberikan kelebihan kepada scammer untuk memperdaya mangsa-mangsa
mereka,” ujarnya.

Menurut Azman, mereka yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang
perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta selain syarikat terbabit boleh disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].

Ia merupakan kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat
perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak masak.

Azman berkata, jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau
peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette