Persetujuan untuk meneroka peluang kerjasama itu dicapai apabila SPRM yang diwakili Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Presiden NAZAHA Arab Saudi, Mazin Ibrahim M. Al-Kahmous dalam majlis diadakan di Ibu Pejabat SPRM semalam.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa antirasuah Arab Saudi, Oversight and Anti-Corruption Authority (NAZAHA Arab Saudi) bekerjasama dalam kepakaran serta pengalaman dalam usaha memerangi rasuah  peringkat global.

Persetujuan untuk meneroka peluang kerjasama itu dicapai apabila SPRM yang diwakili Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Presiden NAZAHA Arab Saudi, Mazin Ibrahim M. Al-Kahmous dalam majlis diadakan di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam.

Menerusi MoU ini, kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam aspek pertukaran maklumat dan penyertaan dalam program-program pencegahan rasuah termasuk bantuan teknikal.

Azam dalam ucapannya berharap MoU tersebut dapat mengukuhkan jalinan kerjasama dan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“SPRM bercadang untuk mengadakan lawatan rasmi ke NAZAHA pada tahun ini bagi perbincangan lanjut serta perkongsian pengalaman,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sementara itu, Mazin Ibrahim dalam ucapannya pula merakamkan penghargaan kepada SPRM atas jalinan kerjasama melalui MoU itu.

Beliau memaklumkan Kerajaan Arab Saudi komited dalam membanteras jenayah rasuah tanpa toleransi melalui beberapa inisiatif utama.

Antaranya adalah Inisiatif Riyadh yang dikenali sebagai Globe I Network bertujuan untuk mewujudkan rangkaian operasi global di kalangan agensi antirasuah bagi memudahkan pertukaran maklumat dan program pembangunan modal insan.

“Sehingga kini, sebanyak 191 agensi antirasuah daripada 150 buah negara telah menyertai rangkaian tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mazin Ibrahim turut memaklumkan bahawa NAZAHA telah membangunkan inisiatif global untuk mengukur kadar rasuah yang mengambil kira perbezaan politik dan undang-undang setiap negara.

Beliau mengalu-alukan SPRM untuk mendapat manfaat melalui inisiatif tersebut yang akan dilaksanakan selari dengan Prinsip Vienna ke arah rangka kerja global untuk mengukur kadar rasuah. – MalaysiaGazette