MELAKA – Tindakan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia bersembunyi di bawah lantai rumah kongsi berjaya digagalkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka dalam serbuan tapak pembinaan di Limbongan, Klebang Besar, di sini, awal pagi tadi.
Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu adalah antara 75 warga asing yang ditahan dalam Ops Sapu di dua tapak binaan di Klebang dan Krubong atas pelbagai kesalahan.
Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, kejadian turut menyebabkan pegawainya dirempuh beberapa PATI ketika cuba meloloskan diri melalui jalan tikus.
“Kejadian bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan dan dua PATI terbabit berjaya ditahan bersama
73 lagi PATI lain berusia antara 20 hingga 50 tahun.
“Terdahulu, kita memeriksa 202 warga asing sebelum menahan 65 lelaki dan 10 wanita yang dipercayai bekerja di tapak pembinaan berkenaan atas pelbagai kesalahan Imigresen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat operasi pukul 3.30 pagi tadi.
Tambahnya, warga asing yang ditahan adalah Indonesia (41), Bangladesh (26), India (1) dan tujuh lelaki warga Myanmar.
“Antara kesalahan yang dilakukan termasuk tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa, menyalahgunakan pas dan lain-lain kesalahan di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Sebanyak 11 saman saksi juga dikeluarkan bagi membantu siasatan dan kesemua PATI yang ditahan ditempatkan di Depoh Imigresen Machap Umboo untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c); Seksyen 15(1)(c) Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen serta 1959/63, Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Mengulas lanjut, Anirwan berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, JIM Melaka telah melaksanakan 614 operasi dan memeriksa seramai 5,159 warga asing.
“Daripada jumlah itu seramai 1,529 individu serta 31 majikan telah ditahan manakala seramai 663 individu termasuk 639 PATI dan 24 majikan telah didakwa di mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette