Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap Kementerian Sumber Manusia dapat menyalurkan geran minimum RM10,000 kepada setiap kesatuan sekerja yang memohon untuk menyertai inisiatif Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS).

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, jumlah itu adalah lebih wajar bagi membolehkan program-program yang dijalankan kesatuan sekerja dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, sekali gus mencapai matlamat yang dikehendaki kementerian.

Menurut beliau, sebelum ini, ada kesatuan yang hanya menerima kurang daripada RM5,000 secara sekali beri dan jumlah tersebut menyukarkan program pendidikan dan berkesatuan dapat dilaksanakan secara komprehensif.

“Dengan dana tambahan yang diberikan ini sudah pasti kesatuan sekerja dapat meningkatkan kapasiti mereka untuk menjalankan program, latihan, dan inisiatif yang menyokong kepentingan pekerja.

“Mereka juga boleh mempromosikan kesatuan bagi menggalakkan penyertaan pekerja dalam berkesatuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Adnan mengulas pengumuman Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong semalam bahawa peruntukan PHEKS tahun ini dinaikkan kepada RM5.8 juta berbanding RM2.6 juta tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, peningkatan geran PHEKS itu pasti memberi kesan positif kepada kesatuan sekerja di negara ini terutamanya dalam menyokong pertumbuhan keahlian selain membantu mereka melaksanakan aktiviti bagi perkembangan pendidikan serta meningkatkan kemahiran warga pekerja.

“CUEPACS yakin bantuan kerajaan dalam bentuk geran ini dapat menggalakkan perkembangan pendidikan dan pembelajaran secara berterusan khususnya bagi meningkatkan kemahiran berkesatuan dalam kalangan pemimpin dan anggota kesatuan sekerja,” jelasnya.

Adnan berkata, CUEPACS berharap semua kesatuan sekerja terutamanya yang di bawahnya mengambil bahagian sepenuhnya dalam inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia bagi membolehkan pembangunan modal insan dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui kesatuan masing-masing. – MalaysiaGazette