Datuk Seri Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pagi ini akan memutuskan keputusan representasi Datuk Seri Najib Razak untuk menggugurkan tiga kes pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy dijangka mengumumkan sama ada menerima permohonan Najib untuk mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) beliau daripada kes terbabit telah tertangguh selama lima tahun setengah.

Untuk makluman, pada prosiding akhir tahun lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul mendedahkan representasi yang dihantar bekas Presiden UMNO pada 31 Julai lalu, belum diputuskan Peguam Negara (AG).

Sebalik AG memohon masa sehingga April tahun ini bagi pihaknya menguruskan kandungan representasi tersebut.

Bagaimanapun penangguhan itu menyebabkan Muniandy tidak berpuas hati mengapa kes  memakan masa begitu lama sebelum memberi kata putus hanya benarkan tunda hingga 19 Januari (hari ini).

Untuk rekod, Najib berdepan dua lagi kes mahkamah iaitu penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil seramai 48 saksi.

Sementara satu lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Peguam utama pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum ini sudah memohon supaya anak guamnya diberikan DNAA kerana kes sudah lebih lima tahun tertangguh.

“Bagi tidak memprejudiskan mana-mana pihak terutamanya anak guam saya, pembelaan mencadangkan mahkamah mengeluarkan perintah DNAA.

“Sekiranya (pihak pendakwaan) mempunyai keputusan berbeza atau mempunyai perkembangan lain, kes boleh dikemukakan semula, yang mana ketika itu mahkamah boleh memutuskan sama ada untuk meneruskan kes atau sebaliknya,” katanya.

Sepanjang lima tahun ini, kes AMLA ini telah ditetapkan untuk pengurusan kes sebanyak tiga kali.

Pada 8 Februari 2019, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga tuduhan AMLA, tetapi kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Najib didakwa terbabit aktiviti AMLA dengan menerima wang keseluruhannya RM27 juta dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Beliau kini sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang dan didenda RM210 juta, atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Bekas pemimpin UMNO itu telah menghantar representasi kepada AG untuk menggugurkan tiga lagi pertuduhan kes pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM27 juta yang dihadapinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast