PUCHONG – Pegawai dan anggota Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) perlu dikekalkan di bawah Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tanpa perlu dikembalikan ke organisasi masing-masing.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan perkara itu kerana mereka sudah terlatih dan berpengalaman untuk menangani bencana dalam negara.
“Mengikut persefahaman antara NADMA yang menubuhkan SMART dengan organisasi yang meminjamkan pegawai dan anggota kita panggil returned to unit untuk tempoh-tempoh tertentu memang itulah syaratnya, mereka perlu kembali ke tempat asal.
“Tapi masalahnya yang ada di sini telah dilatih dan kalau kita nak mengambil anggota baru kena latih. Yang lama sudah ada pengalaman terutama apabila yang sudah pernah dihantar ke lokasi bencana.
“Jadi dalam hal ini kita harap satu mekanisme dapat dicari di mana kekangannya ialah jika mengikut dasar tertentu kenaikan pangkat berlaku,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat 2024 bersama NADMA di sini hari ini.
Sehubungan itu Ahmad Zahid memberi jaminan akan membincangkan cadangan itu bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Dalam masa yang sama, katanya, terdapat keperluan untuk mempertimbangkan kenaikan pangkat dan gaji anggota dan pegawai SMART yang berada di bawah agensi berkenaan.
“Jadi apabila mereka dipinjamkan itu hendaklah juga berlaku berdasarkan kedudukan di organisasi asal mereka,” tambahnya.
Sehingga kini seramai 141 pegawai dan anggota SMART di bawah NADMA yang sebelum ini daripada pelbagai organisasi termasuklah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). – MalaysiaGazette