KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan perasaan dukacita atas kematian wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia, Tan Sri Devaki Krishnan.
Menurut beliau, mendiang merupakan tokoh penting dalam perjuangan memartabatkan golongan wanita di negara ini dan jasa beliau akan terus dikenang selamanya.
“Turut berdukacita di atas pemergian wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia, Tan Sri Devaki Krishnan malam tadi.
“Devaki adalah sosok penting dalam sejarah perjuangan mengangkat martabat wanita dalam kepimpinan dan politik, sanggup mengabadikan hayatnya demi masyarakat.
“Jasa dan pengorbanan mendiang akan dikenang buat selamanya. Takziah kepada keluarga mendiang,” kata Anwar dalam kenyataan.
Devaki meninggal dunia malam tadi pada usia 100 tahun dan berita pemergian mendiang dikongsi cucunya, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan menerusi Facebook.
Devaki dilahirkan pada 11 Mac 1923 memulakan karier sebagai guru sebelum memenangi kerusi dalam Majlis Perbandaran di Kuala Lumpur pada 1952, sekali gus menjadi wanita pertama Malaysia dipilih sebagai penjawat awam.
Mendiang yang dilahirkan di Port Dickson, Negeri Sembilan terlibat dalam politik pada 1950 dan menyertai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 1951 atas jemputan presiden pengasas parti itu Datuk Onn Jaafar.
Selepas Pilihan Raya Perbandaran Kuala Lumpur 1952, Devaki menjadi Naib Presiden MIC yang ketika itu hanyalah sebuah persatuan sosial dan kebajikan.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: