Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendengar pendapat daripada penunggang motorsikal pada Forum Libat Urus Bersama Persatuan Motosikal Malaysia di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 22 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mencari mekanisme bagi menyegerakan proses naik taraf lesen motosikal kelas B2 kepada B secara automatik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan pihak berkuasa terbabit sebelum ia dimuktamadkan.

Ahmad Zahid berkata, beberapa pendekatan yang diteliti antaranya mengambil kira individu berumur 35 tahun ke atas dan tempoh memiliki lesen kenderaan.

“Apa yang kami bincangkan sebentar tadi ada tempoh tertentu. Pertama dari segi umur pemohon itu mesti berumur 35 tahun ke atas.

“Kedua, pemegang lesen B2 ini untuk satu tempoh tertentu, barulah layak untuk mendapat lesen B.

“Jadi dalam perkara ini kita akan muktamadkan bila mesyuarat terperinci diadakan antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

“(Jangka masa) Kita serahkan kepada Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) untuk tentukan mesyurakat akan datang dan dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus bersama Persatuan Motosikal Malaysia di bangunan Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri MOT, Anthony Loke Siew Fook dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Sementara itu, Anthony dalam sesi libat berkata agensi di bawah kementeriannya seperti JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) agak keberatan untuk melaksanakan cadangan tersebut.

Ini kerana, jelas beliau kebimbangan tersebut mengambil kira implikasi keselamatan terhadap pengguna jalan raya.

Ogos tahun lalu, Ahmad Zahid mencadangkan untuk menaik taraf lesen memandu motosikal bagi Kelas B2 kepada B, secara automatik akan dibawa kepada MOT untuk diteliti terlebih dahulu.

Jelasnya, tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen Kelas B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

Bagaimanapun, cadangan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi termasuk menimbulkan implikasi kepada sistem keselamatan jalan raya negara. – MalaysiaGazette