Gambar hiasan.

HULU SELANGOR – Taktik menggunakan kenderaan awam iaitu teksi, antara modus operandi yang digunakan seorang wanita untuk mengaburi mata pihak berkuasa daripada aktiviti pengedaran dadah di dua negeri.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Ahmad Faizal Tahrim berkata, bagaimanapun taktik itu berjaya dihidu selepas wanita tersebut ditahan berdekatan sebuah taman perumahan, di sini, semalam.

“Tangkapan itu berjaya dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Balai Polis Kerling Daerah Hulu Selangor.

“Wanita warga tempatan itu ditahan di tepi jalan berdekatan Taman Tempua Bistari, Kalumpang, Selangor, jam 5 petang, semalam,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau berkata, semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas tujuh peket plastik lut sinar yang mengandungi serbuk kuning dipercayai dadah jenis heroin seberat 16.20 gram dan bernilai RM300.

“Dadah heroin yang dirampas daripada wanita itu dijumpai di dalam beg yang digalas suspek ketika ditahan.

“Berikutan kejayaan ini, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan IPD Hulu Selangor telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.

Susulan penangkapan itu, suspek kini direman tujuh hari bermula 22 hingga 28 Januari ini untuk membantu siasatan.

Selain itu, Ahmad Faizal memberitahu, suspek juga seorang penganggur berusia 36 tahun menjalankan aktiviti itu sejak tiga bulan lalu.

“Suspek terlibat mengedar dadah di sekitar kawasan Hulu Bernam di sini dan Simpang Empat, Tanjung Malim, Perak,” katanya.

Ditanya tentang rekod lampau, Ahmad Faizal memberitahu, wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.

Jelasnya, dadah yang dirampas polis dipercayai akan dijual kepada penagih tempatan di kawasan Hulu Bernam, di sini.

“Dadah yang dirampas daripada suspek mampu diedarkan kepada 100 penagih jika dibungkus semula,” katanya. – MalaysiaGazette