Toh Puan Na’imah Abdul Khalid

KUALA LUMPUR – Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyampaikan mesej kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  selepas prosiding pendakwaan di mahkamah hari ini.

Toh Puan Naimah Khalid, 67, berkata, pihaknya yakin apa juga bentuk penyalahgunaan kuasa mendapat balasan kelak.

“Saya katakan kepada anda, Anwar Ibrahim, kuasa itu sementara dan sentiasa ada perhitungan bagi mereka yang menyalahgunakannya.

“Seperti syair yang awak selalu petik, Man, proud man. Drest in a little brief authority,” katanya ketika sidang media selepas prosiding pendakwaan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Terdahulu Naimah menegaskan, pihaknya bakal membuktikan kepada mahkamah bahawa dirinya tidak melakukan sebarang jenayah.

Beliau mendakwa, jenayah yang sebenar adalah komplot yang digerakkan untuk mencemarkan nama suaminya, memanipulasi agensi siasatan dan pendakwaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara (AGC).

Tambahnya, jenayah yang sebenar adalah serangan terhadap lawan politik menerusi tuduhan yang direka dengan tujuan menimbulkan persepsi negatif rakyat.

“Jenayah sebenar ialah menggunakan kuasa negara untuk tujuan peribadi dan bukan untuk kepentingan rakyat. Jenayah sebenar adalah menyasarkan lawan politik anda dengan tuduhan yang direka-reka manakala yang menimbulkan kemarahan seluruh negara, tuduhan rasuah digugurkan terhadap kroni politik.

“Jenayah sebenar adalah mengejar musuh politik lama dengan penuh dendam, yang tidak mempunyai kuasa sekarang dengan tuduhan tidak berasas sementara ekonomi terbantut, reformasi ditinggalkan dan negara sedih,” katanya.

Dalam pada itu beliau mengucapkan terima kasih kepada yang memberikan sokongan kepadanya sejak mendapat tahu dakwaan akan dibuat pada hari ini.

Pagi tadi, Nai’mah dituduh dengan sengaja memberikan pernyataan bertulis bersumpah yang tidak memathi terma notis di bawah seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)2009 [Akta 694] bertarikh 8 November 2023 iaitu tidak mengisytiharkan harta-harta.

Pertuduhan dilakukan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Na’imah walaubagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Toh Puan Nai’mah mengaku tidak bersalah gagal isytihar harta