Isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid hadir ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Toh Puan Nai’mah Khalid mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Berdasarkan pertuduhan, isteri kepada bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin didakwa Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 Nov 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 Nov 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta-harta tersebut ialah  Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz, sebuah rumah di Persiaran Bukit Tunku.

Selain itu empat lot tanah di Bukit Tunku dan satu lot tanah masing-masing di Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Dis 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 [Akta 694] yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi, Mohd Fadhly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide manakala Na’imah diwakili peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, M.Puravalen dan Alex Tan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwah Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi mengesyorkan jaminan RM500,000 dan memohon syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan selain perlu melaporkan diri di ibu pejabat SPRM sekali setiap bulan.

Namun, peguam belanya Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden membuat rayuan agar jaminan dikurangkan dan membantah penyerahan pasport kepada mahkamah atas alasan anak guamnya bukan berisiko melarikan diri.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM250,000.

Na’imah turut diperintah supaya menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes berkenaan selesai.

Sementara itu, mahkamah turut menetapkan 22 Mac sebagai tarikh sebutan kes tersebut.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Geng2 ni cuba halang pegawai penguatkuasa utk jalankan tugas menyiasat…padahal siasat jaa..yg tentukan salah tak salah ialah mahkamah…kalau tak salah, kenapa nak halang? rakyat marhain pun kena siasat..ok jaaa..ni golongan kayangan tak boleh disiasat?

Comments are closed.