Logo Tenaga Nasional Berhad

KUALA LUMPUR – TNB Repair and Maintenance Sdn Bhd (TNB REMACO) mengembangkan perniagaan penyelenggaraan loji janakuasa di Kuwait dengan Perjanjian Program Penyelenggaraan Berbilang Tahun untuk Loji Janakuasa dan Penyulingan Air Shuaiba Utara di Al Ahmadi, Kuwait.

TNB REMACO ialah anak syarikat milik penuh kepada bahagian penjanaan kuasa TNB – TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) yang mengkhusus dalam operasi & penyelenggaraan (O&M), baik pulih dan pembaikan & penyelenggaraan (R&M) industri berkaitan tenaga, memberi penekanan kepada penggunaan gas, stim dan turbin hidro, dandang, penjana dan banyak lagi.

Melalui usaha sama dengan Al Dhow Engineering, syarikat berpangkalan di Kuwait, TNB menandatangani perjanjian perkhidmatan jangka panjang dengan General Electric Global Services (GE Vernova) untuk menyediakan kerja-kerja penyelenggaraan turbin gas di loji itu, yang dimiliki Kementerian Elektrik, Air dan Tenaga Boleh Baharu (MEWRE) Kuwait.

Perjanjian itu adalah sebahagian daripada usaha lebih luas MEWRE untuk memodenkan infrastruktur penjanaan tenaga di Kuwait, menyumbang kepada usaha global bagi peralihan tenaga mampan.

Di bawah kontrak lima tahun itu, rakan usaha sama itu menyediakan penyelenggaraan menyeluruh terancang dan tidak terancang untuk turbin gas dan alat bantunya di loji berkapasiti 876 MW tersebut.

Perjanjian perkhidmatan jangka panjang itu diumumkan ketika Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP28 UAE) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pengerusi TNB REMACO, Ir. Muhammad Nazri Pazil berkata, kerjasama strategik ini sejajar dengan komitmen TNB untuk menjadi peneraju dalam kemajuan landskap tenaga global. Keduadua rakan kongsi ini mempunyai kekuatan dan kepakaran masing-masing yang akan memastikan kebolehpercayaan infrastruktur tenaga Kuwait dan menyumbang kepada matlamat lebih luas dalam peralihan tenaga dan kelestarian.

“Gabungan perkhidmatan usaha sama TNB REMACO – Al Dhow dan GE dengan keupayaan digital mereka akan membantu menyokong penyelenggaraan dan prestasi jangka panjang untuk Loji Janakuasa dan Penyulingan Air Shuaiba Utara serta memastikan loji kuasa beroperasi pada tahap kebolehpercayaan yang tertinggi.

“Skop kontrak termasuk menaik taraf sistem pembakaran turbin gas dan penyediaan khidmat nasihat teknikal untuk sebarang isu berkaitan loji atau keperluan penambahbaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan bahawa TNB REMACO mempunyai empat lagi projek perkhidmatan penyelenggaraan di pelbagai loji janakuasa di Kuwait.

“Kuwait adalah satu daripada pasaran antarabangsa terbesar kami di samping jejak antarabangsa lain termasuk Arab Saudi, Pakistan, Kemboja dan Vietnam.

Nazri menambah, kerjasama itu bukan sahaja akan meningkatkan infrastruktur tenaga Kuwait tetapi juga menetapkan standard untuk amalan mampan di peringkat global. – MalaysiaGazette