Gambar hiasan.

PARIT – Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mendakwa dirogol seorang pegawai rendah polis berpangkat sarjan dalam kejadian berasingan pada Julai dan Oktober tahun lepas.

Menurut sumber, pelajar tingkatan empat itu dirogol di dalam sebuah kereta di dua lokasi berasingan di hadapan balai polis dan di kawasan parkir pasar raya dalam daerah Perak Tengah.

Perbuatan itu diketahui selepas ibu pelajar terbabit mendesak anaknya sehingga mangsa membongkar perbuatan suspek berusia 42 tahun sebelum membuat laporan polis.

Sumber berkata, pihak polis sudah memanggil mangsa bersama ahli keluarganya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah untuk dirakam keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

“Identiti suspek dikenal pasti berdasarkan nombor telefon yang terpapar dalam telefon bimbit mangsa dan polis juga merampas dua telefon bimbit, masing-masing milik remaja berkenaan dan suspek,” katanya.

Katanya lagi, suspek kini sedang disiasat polis atas dakwaan merogol pelajar berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah ketika dihubungi, memaklumkan pihaknya ada menerima laporan berkaitan kes terbabit pada 20 Januari lalu.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

“Pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa juga telah dijalankan dan didapati tiada kecederaan luaran dan laporan perubatan akan dipohon,” katanya. – MalaysiaGazette