Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar Al-Haj dilantik semula sebagai Ketua Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pelantikan semula tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

UIAM dalam kenyataannya berkata, pelantikan semula Tunku Azizah sebagai Ketua Perlembagaan UIAM berkuatkuasa pada 31 Januari 2024 hingga 30 Januari 2029 untuk tempoh lima tahun.

Lembaga Gabenor UIAM telah mengambil maklum sebulat suara berkenaan dengan pelantikan tersebut.

Tunku Azizah dilantik jawatan tersebut bagi penggal pertama pada 2019 untuk tempoh lima tahun.

Watikah pemasyhuran ketika itu dibacakan dan dipersembahkan kepada baginda oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena dengan Majlis Pemasyhuran pada November 2019.

Menurut Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, warga UIAM amat bersyukur dan berbangga dengan keputusan pelantikan semula Tunku Azizah sebagai Ketua Perlembagaan UIAM untuk penggal kedua.

“Seluruh warga UIAM amat berbesar hati dan gembira dengan pelantikan semula Tunku Azizah kerana sikap penyayang dan prihatin Tunku yang mendalam kepada segenap warga berbilang bangsa di UIAM ini.

“Ini telah membolehkan UIAM mencapai berbagai pengiktirafan peringkat antarabangsa khasnya dalam memaknai peranan sebuah institusi Islam yang berwibawa merentasi 40 tahun penubuhan UIAM.

“UIAM turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas limpah perkenan Tuanku untuk melantik semula Tunku Azizah sebagai Ketua Perlembagaan UIAM,” katanya.

Jawatan Ketua Perlembagaan UIAM itu sebelum ini dipegang oleh Sultan Pahang kelima, Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Sultan Abu Bakar yang mangkat pada Mei 2019.

“Seluruh warga UIAM akan terus memajukan perancangan yang telah disediakan dibawah naungan Tunku Azizah dengan memanfaatkan pengalaman serta kecenderungan Tunku tentang dunia ilmiah yang beretika dalam menegakkan kebenaran berteraskan ilmu dan amanah.

“Keakraban dan kemesraaan Tunku Azizah dengan rakyat dan masyarakat akan memudahkan lagi anjakan UIAM kepada sebuah Komuniversiti bagi meningkatkan jaringan komuniti dan universiti.

“Dengan pelantikan semula ini, Tunku Azizah yang akan bersemayam di Istana Pahang dalam meneruskan legasi almarhum paduka ayahanda untuk membolehkan UIAM meneroka lebih luas lagi peranannya sesuai dengan rahmatan lil ‘alamin selari dengan cogan slogan UIAM ‘Leading The Way, Leading The World,” ujar Dzulkifli. – MalaysiaGazette