Dr Kadaruddin (dua kanan) bersama barisan ahli panel.

KUALA LUMPUR – Krisis berlaku dalam kehidupan setiap individu termasuk remaja apabila individu mengalami kejadian traumatik atau ketegangan yang menyebabkan ketidakseimbangan, gangguan dan disorientasi.

Kegagalan mengawal krisis membawa kesan negatif kepada keseluruhan diri namun krisis yang berjaya ditangani memberi kesan baik untuk perkembangan kendiri individu.

Justeru, intervensi krisis yang berkesan perlu dalam memberi bimbingan, sokongan dan psiko pendidikan kepada remaja yang mengalami krisis dalam kehidupan mereka.

Dalam usaha untuk mengaplikasikan intervensi krisis ini maka krisis dalam kalangan remaja perlu difahami secara tepat.

Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr. Kadaruddun Aiyub berkata, kemahiran komunikasi adalah penting dalam menangani krisis terutama membabitkan pelajar yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Menurut beliau, pendekatan yang diambil di fakulti di bawah pimpinannya adalah dengan mengaplikasikan beberapa eleman dalam membuat keputusan.

“Kalau di FSSK sendiri, apa yang kami lakukan terutama dalam kurikulum ada dua perkara iaitu satu secara terus yang memang kami masukkan beberapa elemen dalam membuat keputusan.

“Aspek ini penting kerana ia akan berkait dengan analisis data dan akhirnya akan pergi kepada keputusan yang akan dibuat. Ini memang ada di dalam kurikulum yang baharu dan akan dilaksanakan dalam tahun ini.

“Kedua, dalam konteks kerja pelajar kami menguruskan projek sebagai contoh program secara langsung. Di situ berlaku keputusan dan krisis. Ini juga dapat dipelajari terus dan akan dilaksanakan dalam semua program.

“Kalau lihat di fakulit ini sendiri, tidak pernah lekang daripada semua aktiviti dalam banyak bentuk. Sebab belajar daripada pengalaman adalah satu perkara yang kami kuatkan untuk masa depan,” katanya.

Menurutnya, memberi kefahaman tepat berkaitan krisis dalam kalangan remaja supaya dengan maklumat yang diperoleh dapat menjadi asas garis panduan dan penentu dalam mengendalikan kes-kes krisis secara berkesan.

“Apa yang paling penting adalah menghindari krisis. Saya lihat ia satu perkara yang sangat penting dan berkait juga dengan tahap kesihatan mental kita. Jadi, perkara sebegini perlu diketengahkan, cuba didik dan tunjuk juga apa impak yang akan berlaku.

“Apa yang kita hendak tekankan adalah, dalam apa sahaja keputusan yang mereka ambil atau untuk bergerak di mana, kita tetap akan berhadapan dengan krisis. Sama ada krisis dalaman atau yang datang dari luar.

“Pengurusannya akan membolehkan kejayaan, jadi itu yang kami pandang serius. Ini bukan hanya untuk sebahagian kelompok, tapi untuk semua pelajar kami. Daya tahan generasi sekarang sangat kurang, jadi kalau tidak diutamakan bagaimana untuk mengurus krisis, ia akan menjadi masalah. Itu pandangan kami dalam pendidikan ini dan itu adalah satu perkara yang penting,” katanya.

Terdahulu, Dr. Kadaruddin hadir merasmikan Program Bual Bicara Komunikasi Krisis anjuran Pelajar Sarjana Komunikasi Krisis di bawah seliaan Dr Ammar Redza Ahmad Rizal selaku penysyarah kursus merangkap Penyelaras Strategik FSSK.

Program yang membawakan tajuk Menangani Krisis Membina Reputasi itu turut menampilkan selebriti terkenal Neelofa dan Awal Ashaari serta Naib Presiden Strategik Kandungan Hiburan Melayu ASTRO, Raqim Ahmad selaku ahli panel.

Berkongsi mengenai penganjuran program yang dikendalikan oleh Sudirman Mohd Tahir yang juga pelajar kursus itu, menurutnya ia sebuah program yang mampu memberi gambaran dengan lebih jelas kepada pelajar bagaimana untuk berdepan dan menangani krisis yang berlaku.

“Perkongsian daripada semua ahli panel terbabit dapat memberikan gambaran jelas bagaimana pelajar dapat menguruskan krisis yang berlaku dalam diri atau kerjaya yang bakal dibina kelak.

“Ini bukan saja membuka ruang kepada mereka untuk memahami dengan lebih jelas situasi yang berlaku, tetapi juga cakna bagaimana setiap orang itu dapat menguruskan krisis yang berlaku sekali gus membina reputasi untuk kekal terbaik,” katanya.

Barisan ahli panel dari kiri, Neelofa, Awal Ashaari, Raqim Ahmad dan Sudirman (moderator).

Sementara itu, Dr Ammar berkata, krisis terutama dalam kalangan pelajar ini sesuatu yang harus ditangani dengan baik kerana ia boleh mempengaruhi tidak hanya perkembangan akademik pelajar, tetapi juga keseluruhan kehidupan mereka.

Menurutnya, dengan adanya krisis ini, pelajar mungkin menghadapi masalah motivasi, pencapaian akademik yang rendah, dan ketidakstabilan emosi.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakan sokongan yang diperlukan bagi pelajar agar mereka dapat menghadapi dan menyelesaikan krisis ini dengan jayanya. Menjadi kepentingan juga dalam memastikan bahawa pelajar merasa didengar dan dipedulikan dalam situasi ini. Ia adalah penting untuk memberi mereka ruang untuk berkongsi perasaan dan kebimbangan mereka tanpa takut dihukum atau diabaikan.

“Melalui pendekatan empati dan pemahaman yang mendalam terhadap setiap individu, kita dapat membantu mereka merasakan sokongan sejati. Dalam masa sama, penjagaan diri dan kesejahteraan mental pelajar harus menjadi keutamaan utama dalam penyelesaian krisis ini. Menerapkan gaya hidup sihat, mempraktikkan teknik-teknik relaksasi, dan memberikan akses kepada persekitaran yang seimbang mampu menjadikan pelajar lebih berkeyakinan dalam menangani krisis,” katanya.

Bagi pengarah program Sudirman Mohd Tahir, penganjuran program itu dilihat dapat memperkukuhkan lagi sistem sokongan psikososial dalam kalangan pelajar khususnya dalam menangani krisis dan membina reputasi diri mereka.

“Program ini memberikan peluang kepada mereka untuk menghadapi dan menangani situasi krisis dengan lebih baik. Dalam masa yang sama, ia juga membantu mereka membina reputasi diri yang kukuh dan berkualiti. Melalui kehadiran tetamu jemputan dalam program ini, pelajar dapat merasakan manfaat sebenar. Ia membolehkan mereka mendapatkan bantuan secara cepat dan tepat dalam menangani masalah emosi dan mental.

“Perkongsian daripada ahli panel memberikan jaminan bahawa nasihat dan panduan yang diberikan adalah berdasarkan kepada pengalaman yang dilalui. Dengan adanya program ini, kita yakin bahawa pelajar akan dapat meningkatkan kesedaran diri mereka terhadap keadaan emosi sendiri serta mampu mengambil tindakan proaktif dalam menjaga kesihatan mental mereka. Ini akan membantu memperbaiki tahap kesejahteraan psikososial di kalangan pelajar secara menyeluruh.

“Pada akhirnya, penganjuran program ini bukan sahaja memberikan manfaat langsung kepada para pelajar tetapi juga memberi impak positif pada reputasi institusi pendidikan itu sendiri. Dengan memiliki sistem sokongan psikososial yang kukuh dan berkesan, IPT akan menjadi tempat yang dihargai dan diiktiraf sebagai penyedia pendidikan yang komprehensif dan menyeluruh,” katanya.

Menurutnya, tidak dapat disangkal bahawa penganjuran program ini adalah satu langkah proaktif yang penting dalam memastikan eputasi diri pelajar terpelihara dengan baik apabila mereka dapat menangani krisis itu. – MalaysiaGazette