Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia menyambut baik keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) mengenai penyediaan langkah-langkah sementara bagi menangani isu genosid yang sedang berlaku di Gaza, Palestin.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu adalah selaras dengan gesaan Malaysia yang berpendirian kekejaman Israel di Gaza mesti dihentikan.

“Malaysia menyambut baik keputusan ICJ dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel di bawah Konvensyen Genosid 1948 yang mengarahkan Israel segera mengambil langkah berikut:

(i) mencegah genosid di Gaza, selaras dengan tanggungjawabnya di bawah Konvensyen Genosid;

(ii) memastikan tentera Israel tidak lagi melakukan sebarang tindakan genosid;

(iii) mencegah dan menghukum sebarang hasutan ke arah genosid;

(iv) membenarkan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan untuk memasuki Gaza;

(v) menghalang pemusnahan dan memastikan pemeliharaan bukti yang berkaitan dengan dakwaan genosid; dan

(vi) mengemukakan laporan kepada ICJ mengenai semua langkah yang diambil untuk melaksanakan Perintah tersebut dalam tempoh satu bulan.

Menurut kementerian itu lagi, Malaysia menantikan prosiding seterusnya yang akan meneliti dakwaan genosid yang dilakukan Israel dan akan terus menyokong permohonan Afrika Selatan di ICJ.

Katanya, Malaysia turut mengulangi gesaan agar Palestin diterima sebagai Negara Anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Semalam, ICJ memerintahkan Israel mengambil tindakan mencegah pembunuhan beramai-ramai (genosid) dalam konfliknya di Semenanjung Gaza, selain menggesa gencatan senjata segera.

ICJ dalam keputusan bagi kes difailkan Afrika Selatan, berkata Israel perlu memastikan pasukannya tidak melakukan genosid dan mengambil langkah untuk memperbaiki situasi kemanusiaan bagi orang awam. – MalaysiaGazette