Jasmizatul Syuhada dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang bekas sukarela Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 38 pertuduhan menggunakan cek palsu berjumlah RM140,975 milik pusat berkenaan.

Tertuduh, Jasmizatul Syuhada Jamaluddin, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kesemua pertuduhan, wanita berkenaan didakwa dengan curang menggunakan sebagai tulen 38 cek bank Islam yang diketahui palsu berjumlah RM140,975.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Bandar Perda, Bukit Mertajam antara 9 Mei 2016 hingga 24 April 2017.

Jasmizatul Syuhada mengaku tidak bersalah atas 38 pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkifli.

Tertuduh tidak diwakili peguam selain tidak membuat sebarang rayuan selepas Noor Azura menawarkan dia diikat jamin RM40,000.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 berserta dua penjamin selain menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan lapor diri di pejabat SPRM berdekatan sehingga kes selesai.

Kes disebut semula 19 Mac depan. – MalaysiaGazette