GEORGE TOWN – Beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu memberi bayangan langkah provokatif akan dilakukan sekiranya kerajaan negeri Pulau Pinang mahu meneruskan hasrat pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar, dekat sini.
Jurucakapnya, Ahmad Yakqub Nazri berkata, ia susulan pihaknya mendapati tiada maklum balas daripada kerajaan negeri selepas Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Teluk Kumbar mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada 9 Januari lalu.
“Hari ini saya bersama lebih 30 individu yang terdiri daripada lima NGO Melayu tampil untuk menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) sebagai tanda bantahan kita terhadap projek pembinaan asrama warga asing itu.
“Serahan memorandum ini menunjukkan kita berunding secara aman dengan kerajaan negeri dalam mendesak projek pembinaan itu dibatalkan susulan ia memberi impak besar daripada segi sosial kepada penduduk khsususnya.
“Bagaimanapun, jika suara rakyat tidak dipedulikan kita bercadang meneruskan langkah provokatif dengan berkampung di pekarangan bawah Komtar bersama penduduk sebagai tanda protes terhadap kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu Ahmad Yakqub bersama empat lagi wakil NGO Melayu menyerahkan memorandum bantahan mereka berhubung pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar kepada wakil Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul di Tingkat 3, Komtar hari ini.
NGO tersebut terdiri daripada Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Pertiga), Pertubuhan Merong, Pertubuhan Seni Silat Perguruan Silat Gayong Penggerak Pulau Pinang dan Pertubuhan Gerak Seni Silat Abjad Azli Jabat Kilat Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing Teluk Kumbar, Prof Datuk Dr Muhammad Idiris Saleh berkata, pihaknya akan berjumpa dengan Ketua Menteri pada Jumaat ini bagi mendapatkan keputusan status pembinaan asrama itu sama ada diteruskan atau batal.
“Sehingga hari ini tiada maklum balas daripada kerajaan negeri berhubung pendirian mereka dalam isu ini dan kita harap keputusan yang akan dimaklumkan nanti (Jumaat ini) bukan memihak kepada pemaju kerana ribuan penduduk telah suarakan bantahan mereka yang mana semua bantahan itu dilakukan secara rundingan aman.
“Bagaimanapun, jika keputusan nanti memihak kepada pemaju maka semua pintu rundingan ditutup dan kami akan rancang langkah baharu bersama penduduk untuk menunjukkan bantahan tanpa diplomasi,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Penduduk Teluk Kumbar terus bantah pembinaan asrama pekerja asing
Media pada 10 Januari lalu melaporkan Penduduk Teluk Kumbar di sini terus mendesak Kerajaan Pulau Pinang membatalkan rancangan pembinaan asrama pekerja asing yang setakat ini disahkan mampu memuatkan 7,860 penghuni di kawasan kediaman mereka.
Difahamkan cadangan pembinaan asrama 27 tingkat itu telah mendapat kebenaran merancang secara bersyarat oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing Teluk Kumbar, Prof Datuk Dr Muhammad Idiris Saleh berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Kon Yeow dan Datuk Bandar MBPP, Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran, semalam sekali gus menyuarakan keluhan dan kerisauan masyarakat setempat berhubung isu tersebut.
“Buat masa ini kami ambil keputusan ‘buat gencatan senjata’ berhubung isu ini sehingga kerajaan negeri memuktamadkan keputusan mereka. Cuma kami minta jangan ambil masa terlalu lama.
“Jika kerajaan negeri tetap untuk teruskan projek ini, kami akan teruskan bantahan termasuk mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan projek itu tidak dapat dijalankan,” katanya. – MalaysiaGazette