JOHOR BAHRU – Teruja dan gembira, hanya itu yang dizahirkan rakyat Johor ketika memberikan lambaian kasih buat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Istiadat Keberangkatan baginda ke Istana Negara pagi ini.
Mereka berhimpun memenuhi sepanjang bahu jalan di Senai sempena keberangkatan Sultan Ibrahim ke Istana Negara sebelum ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pagi ini.
Tinjauan mendapati pelajar sekolah dari SJKC Senai, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indah Pura, SK Senai Utama berada di laluan utama di sini seawal pukul 6.30 pagi lagi bagi memberikan penghormatan istimewa buat Sultan Johor.
Konvoi Diraja Sultan Ibrahim yang berlepas dari Istana Bukit Serene, pada jam 7.45 pagi tiba di kawasan Senai sekitar pukul 8.20 pagi.
Sultan Ibrahim dijadual mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini bagi tempoh lima tahun.
Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan itu akan diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara. – MalaysiaGazette