KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menggunakan apa sahaja kaedah bagi memastikan beberapa kerusi Parlimen milik parti itu dikosongkan seperti termaktub dalam Akta Anti Lompat Parti.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, Dr Afif Bahardin berkata, kerusi Parlimen seperti Parlimen Labuan, Kuala Kangsar, Bukit Gantang, Gua Musang, Tanah Merah dan Tanjung Karang seharusnya dikosongkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK).
“Kami di Bersatu mencabar beliau (Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman) untuk segera mengosongkan kerusi Parlimen Labuan kerana hakikatnya Bersatu mempunyai ramai lagi tokoh yang mampu untuk mewakili dan menjaga kebajikan rakyat Labuan.
“Kami bersedia walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai bentuk tekanan dan intimidasi daripada pentadbiran kerajaan campuran PH-BN,”katanya dalam kenyataan media hari ini.
Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan berkata demikian mengulas kenyataan Suhaili yang mencabar Bersatu untuk memecatnya kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, Bersatu bertindak menggantung keahlian Suhaili selama enam tahun berkuatkuasa November tahun lalu.
Enam lagi Ahli Parlimen Bersatu yang bertindak menyatakan sokongan terhadap Anwar adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan yang terbaharu Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang). – MalaysiaGazette
Bukankah kamu Dan kelompok kamu perintis sebagai pengkhianat?
apakah kamu Dan pengkhianat yang lain telah mengosongkan kerusi parlimen/dun?