Foto Instagram Azzim Zahid.

KUALA LUMPUR – Pengasas jenama baju Melayu Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi mengambil tindakan berani bagi menjaga kualiti baju Melayu edisi terbaharu miliknya yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

Ia susulan komen negatif pembeli yang diterima di laman sosial miliknya terhadap kualiti baju Melayu Bulan Bintang pada tahun lalu.

Menerusi Instagram miliknya, Azzim telah menjemput sembilan tetamu istimewa yang dipilih dalam kalangan pembeli yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kualiti baju tersebut.

Kesemua mereka diberi peluang memilih kotak secara rawak dan memeriksa sendiri kualiti baju Melayu edisi terbaharu miliknya.

“Fuh, pertama kali dalam sejarah aku buat benda ni. Tak pernah lagi aku buat perjumpaan face to face dengan customer, bekas customer, bekas customer to be dan even haters aku (kot)

“Semalam, aku jemput sembilan tetamu istimewa datang ke private viewing session untuk tengok sendiri barang Bulan Bintang 2024. Aku biarkan mereka pergi ambik kotak baju di rak, dan inspect sendiri.

“Kalau tak buat camni, risau netizen kata aku hanya promote barang-barang yang elok, yang pre selected, yang dah rancang sahaja. Hahaha.

“Alhamdulillah, aku dan team sangat-sangat gembira bila dengar sendiri feedback tentang baju melayu tahun 2024. Kami terima 99% positive feedbacks daripada yang datang semalam.

“Tetamu yang datang semalam sangat suka dengan kualiti kain baru yang kami guna, kualiti jahitan yang semakin halus dan kemas dan ada beberapa features baru yang kami introduce untuk tahun 2024 ini. Ada yang terus beli dua tiga pasang terus.

“Tak sabar rasanya nak bagi korang pegang, belek dan tengok sendiri produk Bulan Bintang yang diberi nafas baru ini. Korang semua boleh datang ke butik rasmi Bulan Bintang di seluruh Malaysia mulai Sabtu ni.

Pada Ramadan tahun lalu, kecoh di media sosial mengenai sebuah jenama baju Melayu popular mendapat kecaman dan kritikan oleh orang ramai disebabkan harga mahal tapi kualiti tidak setimpal.

Menurut pembeli, baju Melayu yang dibeli itu merupakan paling mahal yang pernah dibeli dengan harapan kain yang digunakan berkualiti.

Namun dia amat kecewa dengan kualiti pakaian tersebut lantas berkongsi pengalaman memakai baju Melayu jenama Bulan Bintang di mana kainnya jadi kasar sehingga berbulu.

Menurutnya, sebelum ini pernah membeli jenama lain tetapi tiada satu pun jenama tersebut mengalami masalah demikian.

Sebelum itu, Azzim mengakui syarikatnya telah membelanjakan RM2 juta untuk merealisasikan pertunjukan fesyen Bulan Bintang Takes The Sky di Menara Kuala Lumpur (KL Tower) bagi pelancaran baju Melayu miliknya itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast