Tony Pua bercakap kepada wakil media selepas memberi keterangan berkenaan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong ketika di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Tony Pua rasa terkilan dengan siasatan yang dijalankan oleh polis terhadapnya yang dikaitkan menghina institusi diraja.

Ia ekoran kenyataan yang dibuat dalam hantaran di Facebook berkait isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2 Februari lalu.

Bekas Ahli Parlimen Damansara itu hairan bagaimana lima hantaran yang dibuat di media sosial itu dianggap menghasut dan disiasat oleh pihak berkuasa.

“Pada pendirian saya, tidak tahu macam mana hantaran yang saya muat naik dalam FB itu boleh dianggap hasutan di bawah akta yang disiasat.

“Saya tidak dapat berfikir dan melihat sebarang unsur hasutan dalam lima hantaran itu dan sangat berharap polis akan melakukan siasatan penuh serta menolak segala tuduhan yang dibuat oleh pihak di luar sana.

“Sudah enam kali membaca hantaran saya itu setiap malam tapi tak faham macam mana hantaran saya boleh ditafsir sebagai menghasut,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Bukit Aman hari ini.

Terdahulu, Tony hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pukul 12.48 tengah hari sebelum masuk premis itu 1.10 petang bagi memulakan proses merakam keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5.

BACA: Pengampunan Najib: Tony Pua dipanggil ke Bukit Aman esok

Tony kemudian dilihat keluar dari Bukit Aman pukul 2.30 petang tadi bersama peguamnya, Norhaijan Omar.

Tambah bekas Setiausaha Publiti DAP itu, beliau telah diajukan sebanyak 60 soalan oleh pegawai penyiasat USJT dan telah memberi kerjsama penuh dan menjawab kesemua soalan.

“Antara soalan yang diajukan sepanjang siasatan itu adalah sama ada saya yang menulis dan memuat naik hantaran tersebut serta jenis peranti iaitu komputer atau telefon pintar digunakan bagi tujuan itu.

“Cuma saya terkilan disini sebab tak tahu macam mana hantaran saya itu dianggap dan ditafsirkan sebagai berbaur hasutan oleh pihak luar yang membuat laporan polis itu.

“Saya juga mendapat tahu laporan polis terhadap saya dibuat oleh pihak UMNO di Johor dan tidak pasti pengadu secara spesifiknya,” katanya lagi.

Beliau juga tidak pasti sama ada akan dipanggil semula untuk menyambung siasatan dalam kes yang sama selepas ini.

Namun, katanya, polis merampas komputer ribanya dan ia akan diserahkan kelak selepas selesai siasatan.

“Pegawai penyiasat juga telah meminta saya menyerahkan kata laluan kepada akses akaun Facebook namun tidak pasti sebabnya dan selepas ini tiada sebab untuk mereka memanjangkan siasatan ini,” ujarnya.

Ditanya sama ada kecewa dengan pemimpin UMNO yang membuat laporan polis itu, Tony menyifatkan itu memang sikap ahli daripada parti berkenaan.

“Namun, saya rasa membuang masa polis kerana mereka terpaksa menyiasat yang bukan-bukan, buang masa, Saya tidak mengapa sebab saya sudah bersara,” ujarnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hina institusi raja: Tony Pua rakam keterangan di Bukit Aman

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast