KUALA LUMPUR – Ahli politik DAP, Tony Pua hadir ke Bukit Aman hari ini bagi membantu siasatan polis berhubung kenyataannya berunsur menghina institusi diraja dalam soal pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak di media sosial.
Bekas Ketua Biro Publisiti DAP Kebangsaan itu tiba ke Ibu Pejabat Polis itu pukul 12.48 tengah hari tadi ditemani Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau.
Selang 10 minit kemudian Pengerusi DAP, Lim Guan Eng merangkap Ahli Parlimen Bagan juga hadir sebagai menyatakan sokongan solidariti kepada Tony yang juga bekas Ahli Parlimen Damansara itu.
Kemudian sekitar pukul 1.12 tengah hari , Tony ditemani peguamnya memasuki pondok kawalan keselamatan utama ibu pejabat PDRM itu.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan pihaknya sedang menyiasat Tony berhubung kenyataannya di media sosial berunsur menghina institusi diraja dalam isu pengampunan Najib. – MalaysiaGazette