KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sedang memantau petunjuk prestasi utama (KPI) melibatkan sekurang-kurangnya 100 syarikat dan anak syarikat di bawah kementerian itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini sebanyak 23 daripadanya telah ditutup kerana tidak mempunyai daya upaya untuk beroperasi.
Menurutnya, kerajaan juga tidak berkompromi untuk menukar kepimpinan syarikat atau agensi di bawah KKDW, jika prestasi syarikat merosot atau gagal mencapai KPI yang ditetapkan, tanpa asas yang kukuh.
“Tetapi, 23 yang telah saya tutup dipanggil (sebagai) tidak ada daya untuk hidupkan semula atau meneruskan operasinya.
“Maka yang 100 baki itu saya pantau melalui beberapa pendekatan (termasuk) ‘joint venture’ untuk menghidupkan syarikat.
“Bulan Julai nanti apabila kita melakukan pemukiman semula, ketika itu akan menilai ptestasi setiap syarikat berdasarkan pendekatan yang akan dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Menteri Kepada Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah Dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Milikan Agensi KKDW di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapan tersebut antaranya menegaskan individu yang dilantik sebagai pengerusi, ahli lembaga pengarah atau ketua pegawai eksekutif bagi syarikat kerajaan agar tidak mengambil mudah tanggungjawab.
Jelas beliau, mereka yang dilantik mengemudi syarikat dan agensi di bawah KKWD merupakan kumpulan profesional dan tidak mewakili parti politik.
“Saya ingin menegaskan supaya jangan ambil mudah tanggungjawab apabila dilantik sebagai Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah atau Ketua Pegawai Eksekutif bagi syarikat Kerajaan.
“Kita akan sentiasa dipantau, diperhatikan dan adakalanya diaudit oleh rakyat atas kecekapan dan keberkesanan melaksanakan tugas dan amanah,” kataya. – MalaysiaGazette