ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Lima individu terlibat dengan pergaduhan di hadapan sebuah premis perniagaan di Jalan Bukit Bintang, di sini, pada Ahad lalu ditahan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, tangkapan dibuat pada jam 8.30 malam susulan laporan berkenaan video tular yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter, Malaysia Most Viral.

Difahamkan pergaduhan tercetus di antara pekerja restoran dengan warga asing yang dikatakan mengganggu pengurus premis berkenaan.

“Seramai empat warganegara tempatan yang ditahan direman selama sehari pada hari ini.

“Manakala, seorang warganegara asing direman selama empat hari mulai 6 hingga  9 Februari 2024 bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Sementara itu beliau menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.

“Tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” tambahnya. – MalaysiaGazette