Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Hampir 500 pekerja asing didakwa telah ditipu kartel majikan dan ejen yang didalangi warga asing melalui program rekalibrasi tenaga kerja (RTK) pada 2021 dan tahun lalu.

Perkara itu didedahkan oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang mendakwa rata-rata daripada mangsa sudah membayar sehingga RM7,500 namun sehingga kini status mereka tidak sah.

Lebih mengejutkan, menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, mangsa kebanyakannya dalam kalangan warga Indonesia dan Bangladesh sebenarnya ditipu oleh rakan senegara yang menjadi ejen.

Malah kartel majikan warga asing itu didakwa menggunakan maklumat proksi atau isteri mereka yang juga warga tempatan bagi menubuhkan sebuah syarikat untuk menyamar sebagai majikan bagi menguruskan program RTK.

“Kita mendapat aduan dan apabila kita teliti kita dapat kartel dan ejen ini ambil kesempatan dengan program rekalibrasi yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia bagi pemutihan pekerja asing yang pas lawatan kerja sementara (PLKS) telah tamat tempoh, tinggal lebih masa dan masuk secara tidak sah.

“Melalui RTK 1.0, pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu membayar RM500 namun terdapat majikan didalangi warga asing yang mengenakan bayaran berlipat ganda bagi menguruskan rekalibrasi manakala RTK 2.0 pula kerajaan tawar secara percuma tapi kumpulan ini terus kaut untung dengan kenakan bayaran.

“Bagi setiap proses, mereka dikenakan bayaran hingga ribuan ringgit, malah ada yang membayar sehingga RM7,500 seorang sedangkan jumlah hanya dikenakan sebanyak RM500. Tetapi mereka tidak diberikan PLKS- RTK yang dipohon malah kita dapat tahu ianya tidak dimohon dari awal lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelas Hishamuddin, kartel yang didalangi warga asing itu dapati cuba memonopoli para pekerja asing sebagai majikan atau ejen.

“Kartel ini akan mendaftarkan pekeria asing di bawah syarikatnya dan mengenakan bayaran tertentu bagi majikan tempatan yang ingin mendapatkan perkhidmatan pekerja asing. Kebanyakan warga juga percaya rakan senegara ini juga antara modus sindiket ini.

“Majikan warga asing mengambil kesempatan ke atas majikan tempatan. Mereka cuba monopoli semua sektor terutama pembinaan, kita (majikan tempatan) pula kena bayar pada mereka kalau hendak menggaji pekerja asing,” ujarnya.

Hishamuddin berharap isu ini akan disiasat dan tindakan tegas akan diambil pihak berwajib dengan segera supaya kumpulan tidak lagi bermaharajalela menggunakan program-program inisiatif kerajaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MHO akan dedah penipuan pas rekalibrasi tenaga kerja

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast