KUALA LUMPUR – Isu berkaitan penipuan Program Rekablibrasi Tenaga Kerja (RTK) yang masih lagi berleluasa walaupun pelbagai operasi dibuat pihak berwajib bagi membantu pekerja asing ditipu sindiket serta ejen.
Terbaru, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) akan membuat pendedahan berkaitan penipuan itu yang membabitkan ejen-ejen dan beberapa syarikat yang sepatutnya membantu mangsa tetapi menipu bagi mengaut untung atas angin.
Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, setakat ini pihaknya sudah menerima beratus-ratus aduan mangsa dan sedang menyiasat kesahihan serta modus operandi yang digunakan oleh kartel majikan serta ejen-ejen berkenaan.
“Setelah Ogos 2021, kerajaan melalui Jabatan Imigresan Malaysia (JIM) telah lancar program Pas Lawatan Kerja Sementara (PKLS) – Rekablirasi Tenaga Kerja RTK bagi menyelesaikan masalah memproses permit pekerja yang terganggu ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).
“Sambutan memberangsangkan menyebabkan program itu bersambung kepada RTK 2.0 antara Januari 2023 hingga Disember 2023 bagi bantu pekerja-pekerja yang tidak sempat mendaftar selain tidak sempat sertai RTK 1.0
“Program RTK 1.0 dan 2.0 yang diusahakan dengan kerjasama antara JIM dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sebenarnya agak bagus untuk sektor-sektor terjejas kerana Covid-19 tapi hakikatnya pada masa sama begitu banyak isu penipuan membabitkan program ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sambung Hishamuddin, ada segelintir besar pemohon yang telah memohon tidak berjaya mendapat PLKS – RTK ini kerana disyaki permohonan melalui ejen dan syarikat tidak sampai kepada JIM.
“Walaupun setiap mangsa ini bayar dan ikut segala syarat namun tidak berjaya. Lebih menyedihkan apabila kebanyakan mereka takut untuk tampil ke depan terutamanya membuat laporan polis kerana status mereka tidak sah.
“Jadi apa yang mereka boleh lakukan selepas dianiyai seperti ini? Kita sedia maklum pihak berwajib sentiasa mengadakan pelbagai serbuan dan operasi menangkap dalang-dalang ini namun isu ini seperti tidak selesai. Sesuatu yang lebih drastik perlu dilakukan.
“MHO melalui penasihat kami, Tan Sri Musa Hassan akan buat pendedahan terperinci serta syarikat dan ejen berkaitan isu ini selewat-lewatnya minggu depan,” ujarnya. – MalaysiaGazette