KUALA LUMPUR – Balutan seluruh badan Faisal Halim sudah mula dibuka selepas pemain itu menjalani pembedahan kedua malam tadi dan tidak lagi dibalut seperti ‘mumia’.
Menurut ketua perubatan sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair, kulit badan Faisal kini menunjukkan perkembangan positif berbanding sebelum ini.
Malah beberapa bahagian badan yang dibalut sebelum ini sudah dibuka termasuk di kepala yang membolehkannya menjamah makanan.
“Peringkat pertama pakar bedah sudah rawat bahagian kulit dan cuci lagi.
“Dan kali kedua ini (pembedahan kedua) lebih positif dan sebab itu kita boleh masuk ke peringkat berikutnya (buka balutan),” katanya memetik laporan Metro ketika ditemui di lobi hospital, di sini hari ini.
Difahamkan, diet pemakanan yang diambil Faisal buat masa ini makanan bersifat lembut.
Pada Ahad lalu, Faisal atau dikenali dengan panggilan Mickey dilaporkan diserang oleh dua individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di Damansara.
Dua individu itu menyimbah cecair yang juga asid ke arah muka pemain sayap itu.
Namun tonggak utama skuad Harimau Malaya itu sempat mengelak dan asid itu terkena di beberapa anggota badan seperti leher, lengan, dada dan terkena sedikit di bahagian tepi wajahnya.
Difahamkan, asid itu cukup berbahaya di mana badan Faisal melecur tahap empat hingga terpaksa dibedah oleh pakar Dermatologi atau pakar kulit. – MalaysiaGazette