Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin bersama calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut selepas selesai program Ceramah Umum Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu ketika di Taman Seri, Batang Kali. Foto MOHD ADZLAN, 08 MEI 2024.

BATANG KALI – Calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut menafikan dakwaan PN ‘menciplak’ manifesto calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor itu berkata, manifesto berkenaan tercetus selepas mendengar keluhan daripada pelbagai kaum di Kuala Kubu Baharu yang mahukan perubahan dilaksanakan di kawasan tersebut.

“Bukan (tiru manifesto PH), ini hasil pertemuan bersama dengan akar umbi.

“Sebenarnya, kita punya (manifesto PN) ini (idea) dapat hasil dari pertemuan pengundi di Kuala Kubu Bharu,” katanya pada sidang media selepas ceramah umum PN di Batang Kali, semalam.

Turut hadir sama, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Ronald Kiandee, Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

Khairul Azhari dituduh menciplak manifesto Sock Tao bagi kerusi DUN Kuala Kubu Baharu oleh ADUN Buntong, Thulsi Manogaran.

Beliau menegaskan, manifesto PN yang dilancarkan pada Isnin lalu hampir sama dengan manifesto PH yang dilancarkan lebih awal.

Dalam pada itu, mengulas kesukaran dalam menyalurkan peruntukan susulan berstatus pembangkang jika menang pada PRK itu, Khairul Azhari berkata, pihaknya akan menggunakan saluran yang tepat bagi memastikan suara rakyat di Kuala Kubu Baharu dapat didengari kerajaan negeri Selangor.

“Kita di pihak pembangkang mempunyai pelbagai idea dan cara untuk kita membawa suara perjuangan rakyat di Kuala Kubu Bharu.

“Bagaimanapun, terpulang kepada masyarakat di sini dapat menerima atau tidak sebab kita sebagai pembangkang akan buat yang terbaik,” katanya.

PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan bebas dengan Khairul Azhari mewakili PN.

Kerajaan Perpaduan meletakkan Sock Tao yang merupakan bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala PRM diwakili Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin bertanding atas tiket bebas. – MalaysiaGazette