Anak Allahyarham MD Rizal Atan, Nur Ielfa Syahirah selepas jenazah bapanya dimandikan di Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24 Shah Alam, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 08 MEI 2024

SHAH ALAM – “Lepas ini pastinya saya akan merindui suara ayah, gurau sendanya dengan kami sekeluarga.”

Itu yang dikongsikan anak sulung Allahyarham Md Rizal Atan, 47, mangsa yang maut dihempap pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur semalam.

Nur Eilfa Syahirah,19, yang ditemui sedih dan terkilan atas pemergian ayahnya kerana mendapat perkhabaran kematian allahyarham agak lewat.

Tambahnya, sebelum allahyarham pergi bekerja semalam, dia sempat bergurau dengan ibunya, Norpahidah Mat Zaman, 43, dan menghantarnya dan adik-adiknya ke sekolah.

“Ayah memang suka melawak dan semalam sempat usik emak dengan berkata, ‘Mak busuklah’ sebelum dia pergi kerja  kemudian dia setiap pagi memang akan hantar saya dan adik ke sekolah.

“Pagi semalam memang tiada apa yang pelik atau berbeza dari dia. Bila jadi macam ini memang terkejut sangatlah, tak sangka dia pergi dulu sebab sebelum ini datuk yang selalu keluar masuk hospital akibat sakit jantung.

“Tapi itulah sudah ajal dia pergi dulukan dan kalau ikutkan semalam juga dia berpuasa dan hari ini merupakan hari terakhir dia habiskan puasa enam. Kami sempat salam dan cium ayah,” katanya ketika ditemui di Masjid Al-Ehsan di Seksyen 24 di sini hari ini.

Menahan sebak anak Allahyarham MD Rizal Atan, Nur Ielfa Syahirah selepas jenazah bapanya dimandikan di Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24 Shah Alam, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 08 MEI 2024

Berkongsi keperibadian ayahnya, Nur Eilfa Syahirah berkata, allahyarham merupakan seorang yang mementingkan kekeluargaan dan sering menjadi individu paling ceria di dalam keluarga setiap kali berkumpul beramai-ramai.

“Dia seorang happy go lucky dalam keluarga. Kalau macam raya hari itu, dia yang paling bising dan kecoh. Kalau perangai  pun dia yang paling pelik macam orang lain buat samping biasa, tapi dia nak buat samping bunga macam tu.

“Tapi lepas ini saya akan merindui suara dia, gurau senda ayah dan dia jugalah yang pandai hidupkan suasana dalam keluarga sebab tidak semua ayah ada sikap sebegitu.

“Selain itu, ayah jugalah orang penting uruskan hal sebab dia ketua keluargakan. Jadi apa-apa akan rujuk dia dulu.,” ujarnya sebak.

Anak lelaki Allahyarham MD Rizal Atan, Muhammad Ielmy Zikry menaiki van jenazah untuk ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 08 MEI 2024

Tambah Nur Eilfa Syahirah, sebagai anak sulung sudah pasti selepas ini tanggungjawabnya semakin besar untuk membantu ibunya dalam menyara dan menguruskan keluarga kerana adik-adik masih lagi kecil serta bersekolah.

Dalam pada itu, turut kelihatan wakil Yayasan Darul Ehsan (YIDE) di masjid yang sama bagi memberikan sumbangan ehsan pada ahli keluarga Allahyarham Md Rizal.

Allahyarham merupakan anak ketiga daripada lima beradik telah meninggalkan seorang balu yang juga suri rumah sepenuh masa dan empat cahaya mata yang berusia lingkungan 19 tahun hingga lima tahun.

Terdahulu, Allahyarham dimandi dan dikafankan di Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24 sebelum disembahyangkan dan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 pada jam 2.30 petang tadi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tak sangka Uda pergi dulu – Sharizan