Tan Sri Razarudin Husain

PETALING JAYA: Polis sedang mengenal pasti seorang pemilik media sosial yang dikenali sebagai Muhammad Suresh Imran berhubung kenyataannya mengenai serangan asid ke atas tonggak skuad Harimau Malaya, Muhammad Faisal Abdul Halim.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya mahu melihat maklumat yang dimiliki individu tersebut untuk membantu siasatan polis.

“Saya minta mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian serangan asid terhadap Faisal Halim boleh tampil segera bantu siasatan dan bukannya mengeluarkan kenyataan sehingga boleh menganggu siasatan polis,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas mengenai kes itu, beliau berkata, polis sedang menyiasat dari pelbagai sudut dan aspek membabitkan suspek berusia lewat 30-an yang ditahan reman sehingga 11 Mei ini.

Pada masa yang sama, Razarudin memberi peringatan tegas kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak betul hingga boleh menjejaskan siasatan kes tersebut.

Artikel berkaitan: Faisal semakin stabil selepas pembedahan kedua

Selangor FC lancar solidariti ‘Stand with Faisal Halim. Stop the Violence!

KBS pastikan Faisal Halim dapat rawatan percuma di ISN – Hannah

Faisal jalani pembedahan lagi petang ini

Kes Faisal disimbah asid: Siasatan diambil alih USJT Bukit Aman

Kes Faisal disimbah asid: Suspek pertama bebas kerana tiada kaitan

Polis cekup suspek kedua kes simbah asid Faisal Halim

Faisal Halim alami kelecuran tahap empat, pergerakan dan percakapan terbatas

Tunku Ismail kecam insiden serangan terhadap Faisal, Akhyar

Rujuk Faisal segera ke unit rawatan kebakaran kulit – Zack

Seorang lelaki ditahan polis bantu siasatan kes Faisal disimbah asid

Penyerang sasar muka Faisal, sempat ucap good luck

Sebelum ini, seorang pemilik laman sosial Instagram mendakwa dia telah dipanggil oleh polis bagi membantu siasatan kes serangan ke atas Faisal.

Individu itu mendakwa dia memiliki maklumat namun diminta menutup mulut daripada mendedahkan mengenai kejadian sebenar yang menimpa pemain berkenaan.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek kedua berusia lewat 30-an telah ditahan di Bandar Baru Bangi lewat petang Isnin lalu dalam kes serangan asid ke atas Faisal Halim atau dikenali sebagai Mickey.

Suspek kemudian direman bagi membantu kes yang dijalankan siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Siasatan kes berkenaan juga telah diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Undang-undang dan Pendakwaan (D5) JSJ Bukit Aman.

Manakala suspek pertama lelaki berusia 20-an yang ditahan malam Ahad di Pandan Indah, Ampang telah dibebaskan oleh polis selepas mendapati dia tidak mempunyai kaitan dalam kes tersebut namun ditahan semula atas kesalahan positif dadah.

Dalam kejadian petang Ahad lalu, Faisal disimbah asid Ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Beliau yang kini diberi rawatan disahkan mengalami kelecuran tahap dua. – MalaysiaGazette