Zakaria Rahim

KUALA LUMPUR – Seorang penganalisis sukan menyarankan agar Selangor FC agar merujuk segera pemain kelab itu, Faisal Halim ke sebuah Hospital Prince Court di ibu kota untuk rawatan rapi.

Zakaria Rahim atau dikenali sebagai Zack berkata, ini kerana hospital itu memiliki unit khas untuk rawatan kebakaran kulit.

“Harap Selangor FC dapat segera rujukkan Faisal Halim ke Prince Court Hospital di Burnt Unit mereka. Prince Court memang ada satu dedicated Burnt Unit untuk rawatan kebakaran kulit kerana Petronas akan selalu rujuk di sana untuk staff mereka yang alami kecederaan kebakaran.

“Mereka ada enam pakar sepenuh masa yang boleh membantu segerakan pemulihan Faisal dan rawatan rapi mengelak jangkitan daripada berlaku.

“Semoga Faisal mendapat rawatan yang terbaik kerana dia bukan sahaja aset Selangor FC tapi juga aset negara. Sekadar membantu semampu yang boleh,” tulis di Facebook miliknya hari ini.

Semalam, penyerang sensasi skuad Harimau Malaya itu yang disimbah asid ketika berada di pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya petang tadi berada dalam keadaan stabil.

Namun dia dikatakan mengalami kelecuran tahap dua di beberapa bahagian tubuh iaitu di sekitar leher, bahu, lengan dan dada.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin pula menasihatkan Faisal agar  ‘melupakan seketika’ kancah bola sepak kerana memerlukan rehat.

Beliau berkata, penyerang itu perlu berehat dalam tempoh beberapa bulan mendatang sehingga betul-betul sembuh daripada luka kesan daripada simbahan asid.

“Kondisi dia cukup saya katakan menyedihkan tapi saya berharap Faisal, isteri dan keluarga akan tabah akan dugaan ini. Bahagian kaki dia nampak okay tiada apa-apa. Bahagian tangan kiri badan belah kiri rusuk dan bahu yang cedera.

“Saya katakan kepada dia agar melupakan seketika bola sepak dalam tempoh beberapa bulan yang mendatang untuk dia sembuh sepenuhnya daripada asid yang terkena badannya,” katanya selepas melawat Faisal di hospital malam tadi. – MalaysiaGazette