Kempen solidariti yang dilancarkan Selangor FC untuk pemain mereka, Faisal Halim yang kritikal selepas disimbah asid Ahad lalu.

KUALA LUMPUR – Selangor FC melancarkan kempen solidariti Stand with Faisal Halim. Stop the Violence! selepas Faisal Halim dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Ahad lalu.

Kempen solidariti ini digerakkan untuk memberi kesedaran bahawa masyarakat tidak sepatutnya memberikan ruang sebarang unsur keganasan berlaku dalam dunia bola sepak.

“Bola sepak adalah sukan yang menyatukan semua orang dan bukan untuk memecah- belahkan kita.

“Pemain bola sepak telah berusaha dan bekerja keras untuk mendapatkan kemenangan yang akan menggembirakan penyokong pasukan mereka.

“Seperti atlet yang lain, Faisal Halim juga telah memberikan segala kudrat dan upaya beliau untuk membanggakan bukan sahaja nama kelab, tetapi juga nama negara di persada bola sepak antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di media sosial rasmi Selangor FC, semalam.

Hal ini dapat dibuktikan apabila jaringan ikonik yang dibuat Faisal ketika menentang Korea Selatan dalam Piala Asia AFC 2023 masih lagi menjadi bualan peminat bola sepak di seluruh dunia.

“Sekarang, giliran kita pula untuk memberi sokongan padu kepada wira negara kita yang mempunyai impian besar dalam bola sepak.

“Justeru itu, marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan beliau untuk kembali pulih seperti sedia kala,” katanya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Faisal kini sedang dirawat serta telah menjalani beberapa pembedahan.

Difahamkan sejenis ubat khas dari Australia akan dibawa khas untuk pemain itu. – MalaysiaGazette