Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Polis telah membebaskan suspek pertama dalam kes pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim disimbah  asid hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, siasatan awal ke atas suspek berusia 20-an yang direman dua hari sejak semalam mendapati lelaki warga tempatan itu tidak mempunyai sebarang kaitan dalam kes jenayah tersebut.

“Siasatan polis mendapati suspek sebenar kes itu yang menaiki motosikal semasa kejadian pada Ahad lalu telah menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Nombor pendaftaran motosikal yang digunakan oleh suspek sebenar sama dengan nombor pendaftaran nombor pendaftaran motosikal milik lelaki (suspek pertama) yang ditahan kelmarin.

“Oleh demikian, siasatan mendapati suspek pertama yang ditahan itu tiada kaitan dengan kes ini dan dia akan dibebaskan hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Namun Hussein berkata, lelaki itu akan ditahan semula oleh polis selepas diuji positif dadah menerusi saringan air kencing yang dijalankan selepas ditahan Ahad lalu.

Pagi tadi, Hussein mengesahkan tangkapan suspek kedua di Bandar Baru Bangi lewat petang semalam untuk membantu siasatan kes yang sama.

Suspek kedua berusia lewat 30-an itu akan direman di Mahkamah Petaling Jaya hari ini untuk membantu siasatan lanjut polis dalam kes ini. – MalaysiaGazette