Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Seorang individu lelaki yang ditahan sebagai suspek kedua insiden pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim diserang dengan asid telah direman bagi membantu siasatan lanjut polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek warga tempatan berusia lewat 30-an yang ditahan di Bandar Baru Bangi lewat petang semalam telah direman selama lima hari.

“Suspek kedua yang ditahan semalam telah dihadapkan ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan perintah reman.

“Mahkamah membenarkan suspek kedua ini direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 11 Mei ini untuk membantu siasatan polis,” katanya Ketika dihubungi.

Beliau turut menambah kes berkenaan yang sedang disiasat di Bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan parah mula dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Ya.. kes diambil alih oleh USJT Bukit Aman,” katanya ringkas.

Terdahulu pada awal pagi tadi, Hussein juga mengesahkan tangkapan suspek kedua itu dan pembebasan suspek pertama selepas siasatan awal mendapati suspek lelaki berusia 20-an yang ditahan di Pandan Indah tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes ini.

Katanya, siasatan polis mendapati nombor pendaftaran palsu yang digunakan suspek menyerupai nombor plat motosikal milik suspek pertama yang ditahan bantu siasatan. – MalaysiaGazette