Logo SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pengarah syarikat dan seorang pemilik firma guaman petang semalam.

Menurut sumber, suspek disyaki telah mengemukakan pelan pelaburan, skim perlindungan insuran yang mengandungi butir matan palsu berkaitan pelaburan mata wang asing berjumlah kira-kira RM38 juta.

Kata sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia sekitar 50-an telah ditahan kira-kira jam 5 petang ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Ibu Pejabat SPRM dan Pejabat SPRM Seberang Prai, Pulau Pinang.

Majistret Mahkamah Putrajaya, Ti Pei Si kemudian membenarkan permohonan reman selama dua hari  bermula hari ini sehingga 9 Mei 2024 terhadap suspek.

Difahamkan sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2020.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap suspek dan kes  disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette