Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin bercakap kepada media selepas selesai program Ceramah Umum Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu ketika di Taman Seri, Batang Kali. Foto MOHD ADZLAN, 08 MEI 2024.

BATANG KALI – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menghantar surat pemberhentian keahlian secara serentak kepada keenam-enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, daripada keenam-enam mereka, yang pertama akan dihentikan keahliannya adalah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman.

“Kita akan beri serentak (surat pemberhentian) semua (keenam-enam) tapi saya kata yang jelas terhenti adalah Suhaili, malam tadi nampak dua lagi (Ahli Parlimen Tanjong Karang dan ADUN Selat Kelang), (turun pentas PH) ia lagi jelas,” katanya dalam sidang media selepas ceramah umum di Taman Seri, Batang Kali, malam tadi.

Hadir sama adalah dua naib presiden Bersatu, Datuk Seri  Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin.

Jelasnya, Bersatu telah membuat keputusan mengenai pemberhentian keenam-enam mereka dan satu mesyuarat peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) akan diadakan minggu depan untuk sokongan.

“Memang telah ada keputusan kita yang hanya menunggu mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi untuk buat keputusan.

“Dua lagi (Ahli Parlimen Tanjong Karang dan ADUN Selat Kelang) yang hari ini bangkit dan bersuara di pentas calon PH, kalau ikutkan Pelembagaan parti secara automatik mereka terhenti daripada menjadi ahli parti.

“Maka kita akan bawa juga untuk buat keputusan nanti,” kata Hamzah.

Dalam pada itu, Hamzah berkata parti sudah maklum akan tindakan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari yang didakwa turun berkempen untuk calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao.

“(Datuk Dr) Suhaili Abdul Rahman sudah ada keputusan asal cuma nak buat pelaksanaan.

“Yang ini (Ahli Parlimen Tanjong Karang dan ADUN Selat Kelang) kita akan tengok sebab kita terpaksa berlaku adil kepada semua.

“Kita akan buat apa yang terkandung dalam Pelembagaan parti,” katanya lagi.

Sebelum ini di Kota Kinabalu, Hamzah berkata, keputusan tindakan terhadap enam ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri akan dibawa dalam Mesyuarat Ahli MPT dalam masa terdekat.

Jelas Hamzah, tindakan itu bukan hanya berkaitan enam ahli Parlimen tersebut sahaja tetapi turut membabitkan kepada semua ahli Bersatu.

Sebelum itu, enam ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – MalaysiaGazette