KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mengambil tindakan tegas mengikut perundangan dan peraturan semasa terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam isu pelabelan yang bersifat diskriminasi atau negatif terhadap minyak sawit.
Menurut kenyataan KPK berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak, termasuk pengimport, pengedar, penjual dan pihak-pihak berkaitan yang melakukan kesalahan berkenaan.
“Pihak kementerian menubuhkan Pasukan Multi-Agency Enforcement Force (MAEF) dengan kerjasama kementerian dan agensi.
“Ia bertujuan untuk mengintegrasi aktiviti advokasi dan penguatkuasaan dalam meningkatkan kesedaran seluruh pengguna termasuklah penjual, pengedar dan pengimport mengenai isu pelabelan ini serta sentimen antiminyak sawit di negara ini.
“Pasukan MAEF telah menjalankan suatu pemeriksaan berhubung Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan atau Petunjuk (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 terhadap beberapa buah premis di sekitar negeri Selangor pada 26 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pemeriksaan mendapati bahawa masih terdapat beberapa produk makanan di premis-premis tersebut yang mempamerkan secara jelas label bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit (DLAPO) yang berbentuk pernyataan, ungkapan atau petunjuk seperti ‘tiada minyak sawit’ atau ‘tanpa minyak sawit’.
Menurut KPK, premis terbabit didapati menjual produk makanan bayi dan makanan import yang mempamerkan DLAPO manakala sebuah syarikat pengimport menampal pelekat ‘diimport dan diedarkan oleh’ pada label berupa DLAPO pada produk yang diperiksa.
Katanya, semasa pemeriksaan, pengurus premis diberi penerangan berhubung larangan penggunaan label tersebut dan diminta supaya mengosongkan rak sehingga tindakan susulan diambil.
“Amaran juga dikeluarkan kepada premis-premis yang terlibat untuk menghentikan penjualan produk yang mempunyai pelabelan bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit dan mengeluarkan produk sedia ada di pasaran dengan kadar segera.
“Teknik pelabelan seumpama ini jelas boleh memberikan suatu tanggapan yang negatif kepada pengguna bahawa penggunaan minyak sawit adalah memudaratkan dan akan membahayakan kesihatan sekiranya menggunakan produk tersebut.
“Selain itu, tindakan ini juga sekali gus menjejaskan reputasi baik minyak sawit keluaran komoditi negara ini serta melanggar prinsip perdagangan yang adil dan telus,” ujarnya.
KPK berkata, berdasarkan Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang- Barang Minyak Sawit) 2022 yang berkuat kuasa pada 15 Mac 2022, mana-mana orang yang melanggar peraturan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun apabila disabitkan. – MalaysiaGazette