KUALA LUMPUR – Demi cinta, Umisofian Md Yusuf sanggup membida nombor pendaftaran kereta UUM77 bernilai RM10,000 sebagai kenangan orang ke-77 mendaftar sebagai penjawat awam di Universiti Utara Malaysia (UUM) 40 tahun lalu.
Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan dalam ucapan Amanat Tahun Baru 2024 baru-baru ini merakam penghargaan kepada tiga staf UUM yang mempunyai nombor staf dua digit kerana setia bersama-sama UUM selama 40 tahun.
Salah seorangnya ialah Umisofian.
Menurut Umisofian, tarikh keramat 7 Julai 1984 melapor diri sebagai staf UUM Tanah Merah dengan nombor pekerja yang ke-77 merupakan detik terindah untuk dikenang. Malah pada ketika itu juga pelajar-pelajar baharu UUM juga turut mendaftar sebagai pelajar dan mereka hampir seusia dengan saya.
“Justeru, saya jadikan nombor plat istimewa ini sebagai satu nilai sentimental yang perlu diabadikan serta menjadi lipatan sejarah yang mungkin tidak akan berulang,” katanya.
Berkongsi detik awal menjejakkan kaki di UUM, ketika menunggu keputusan STPM, beliau terbaca iklan jawatan kosong sebagai pegawai kerani di dalam akhbar pada ketika itu dan terus memohon dan mendapat tawaran tidak berapa lama kemudian.
“Saya masih ingat, sewaktu mula berkhidmat, usia saya baru menjangkau 20 tahun dan boleh dikategori sebagai staf yang masih muda belia. Walaupun masih muda, saya tetap menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, sekali pun terpaksa beralaskan simen kerana kerusi meja belum lengkap.
“Proses menyusun dokumen dan fail juga dilaksanakan secara manual, malah kami terpaksa duduk di atas lantai demi memastikan semua dokumen dapat disusun secara teratur dan sistematik.
“Tapi kami bangga kerana kamilah orang penting dalam mengurus perkhidmatan biarpun terpaksa ke sana sini dalam keadaan kemudahan dan peralatan yang tidak mencukupi. Kami tetap memberi khidmat yang terbaik demi memastikan semua urusan dan perkhidmatan berjalan lancar,” kongsinya menerusi satu kenyataan hari ini.
Apabila UUM berpindah ke kampus tetap di Sintok, Kedah – banyak perubahan yang berlaku daripada segi kemudahan insfrastruktur dan sistem pengurusan maklumat.
Cara bekerja juga menjadi lebih cepat dengan adanya kemudahan komputer, katanya.
Kecintaan terhadap ilmu tidak pernah padam walaupun niat itu pernah ditangguhkan seketika, beliau tetap menyambung pelajaran di peringkat Sarjana Muda dan Master.
“Hasil daripada usaha gigih yang tidak pernah kenal putus asa, saya telah dinaikkan pangkat. Sebelum bersara, saya sekali lagi dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pendaftar di Jabatan Bendahari,” ujarnya.
Beliau menyifatkan kemuncak kejayaan apabila berjaya menulis sebuah buku karya kreatif iaitu novel Tragedi Dah Mahsuri: Hadiah daripada Tuhan”. Novel yang julung kali diterbitkan ini merupakan garapan kisah benar daripada peristiwa Covid-19 yang melanda negara.
Selama 40 tahun berkhidmat merupakan satu tempoh yang panjang beliau berbangga kerana berpeluang merasai pengalaman bekerja di bawah kepimpinan 10 orang Naib Canselor yang cukup berwibawa.
“Saya sangat bersyukur boleh melihat UUM membangun di depan mata daripada tidak dikenali telah menjadi sebuah institusi yang sangat diyakini. Saya bermula dari bawah meniti pangkat demi pangkat secara perlahan-lahan sekali gus memberi motivasi untuk terus bekerja sehingga meniti usia 60 tahun.- MalaysiaGazette