PUTRAJAYA – Isu keciciran murid sekolah menengah bakal ditangani segera, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, beberapa cadangan penambahbaikan dikenalpasti seperti menyebarluaskan maklumat tentang kepentingan mendapatkan pendidikan sehingga mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada kanak-kanak dan murid yang tidak bersekolah/cicir melalui media cetak, media elektronik dan media sosial.
Tambah beliau, cadangan lain adalah pemantauan berkala terhadap majikan yang mengambil pekerja yang masih bersekolah untuk mematuhi syarat dan waktu bekerja yang ditetapkan.
“Pada masa sama, menyediakan pusat latihan vokasional; memberi sokongan perkhidmatan kaunseling kepada ibu bapa/penjaga bagi memastikan kanak-kanak dalam jagaan meneruskan persekolahan.
“Cadangan lain adalah memberikan sokongan psikososial kepada kanak-kanak yang terlibat dengan situasi perceraian ibu bapa agar mereka meneruskan persekolahan dengan baik,” katanya.
Kenyataan media beliau itu dibaca oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil 1 Tahun 2024 yang dipengerusikan Ahmad Zahid sini hari ini.
Strategi isu keciciran murid sekolah menengah merupakan Dua Kertas Pertimbangan dan satu Kertas Makluman telah dibincangkan pada mesyuarat tersebut.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, strategi lain yang turut dibangkitkan dalam menangani isu keciciran murid sekolah menengah dengan membantu keluarga yang kesempitan kewangan yang menyebabkan murid perlu bekerja.
“Antara strategi lain juga memberi bantuan kewangan yang mencukupi kepada murid mengikut keperluan dan lokaliti tempat tinggal dan menyediakan ruang pembelajaran di kawasan tempat tinggal seperti pusat komuniti/pusat aktiviti untuk murid belajar,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat juga telah mempersetujui pelaksanaan program pencegahan, kawalan dan rawatan berkaitan HIV dan AIDS dapat dilaksanakan dengan lancar berdasarkan situasi penyakit itu di Malaysia kini.
Jelas beliau, beberapa cadangan penambahbaikan telah dikenalpasti seperti emperkasakan masyarakat terutamanya kalangan belia / anak muda dengan pengetahuan yang tepat mengenai HIV/AIDS, langkah-langkah pencegahan dan isu-isu berkaitan.
“Cadangan lain dengan mewujudkan rumah perlindungan sama ada kendalian agensi kerajaan atau NGO yang mengendalikan aftercare bagi Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA) terutamanya ODHA yang tersisih oleh keluarga dan tiada sokongan.
“Selain itu, meningkatkan keterjaminan pekerjaan dan pendidikan untuk ODHA; melaksanakan pemantauan berterusan dan membuat sekatan ke atas laman web yang menyebarkan bahan-bahan lucah atau aplikasi rangkaian sosial yang menjurus kepada aktiviti berisiko tinggi HIV.
“Cadangan lain lain adalah inisiatif saringan HIV kendiri yang bertujuan untuk meningkatkan akses kepada kumpulan berisiko dalam suasana selesa dan Silibus Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) ditambah baik dan diwajibkan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Modul PEKERTI dilaksanakan di institusi pengajian tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette