Hussein Omar Khan

SHAH ALAM – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor menerima dua laporan polis berkaitan penipuan dalam talian (Phone Scam) melibatkan kerugian berjumlah RM1,433,774.42 dan penipuan atas talian pelaburan matawang kripto (cryptocurrency) RM5,045,800 juta pada awal bulan ini

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, kes pertama melibatkan bekas pensyarah sebuah universiti awam berusia 61 tahun mengaku diperdaya suspek yang menyamar Pegawai National Scam Response Centre (NSRC) dalam laporan dilakukannya pada Rabu lalu.

Katanya, suspek mengatakan wanita berkenaan menjalankan aktiviti perjudian dan pengubahan wang haram.

Suspek kemudian diarah supaya mengumpulkan semua wang simpanan yang ada dan juga menggadai barang kemas untuk dimasukkan ke dalam dua akaun bank milik mangsa dengan alasan tujuan siasatan, ujarnya.

“Mangsa menafikan perkara tersebut dan panggilan kemudian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di mana pegawai polis yang dihubungi mengarahkan mangsa membuat laporan polis.

“Kemudian, mangsa diarahkan untuk meletakkan kedua-dua kad ATM bank tersebut di tepi jalan untuk diambil oleh suspek. Mangsa yang takut dan terpedaya telah mengikut semua arahan suspek.

“Mangsa sedar telah ditipu apabila membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati sebanyak 262 kali transaksi wang berjumiah RM1,433,774.42 telah dikeluarkan oleh suspek dari kedua-dua akaun bank milik mangsa,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, kes kedua pula melibatkan seorang akauntan sebuah syarikat swasta berusia 55 tahun ditipu seorang lelaki menggunakan nama ‘William’ yang dikenalinya pada Ogos lalu menerusi aplikasi Whatsapp.

Hussein berkata, mangsa ditawarkan menyertai pelaburan Crpytocurrency dengan keuntungan sehingga RM7 juta dalam tempoh singkat namun diarah memindahkan wang kripto ke beberapa akaun E-wallet yang diberikan suspek.

Namun katanya, mangsa sedar ditipu selepas gagal mendapatkan pulangan pelaburan meskipun telah meminta beberapa kali.

“Secara keseluruhan mangsa telah melakukan 143 kali pindahan wang dari akaun E-wallet mangsa ke beberapa akaun E-wallet lain sehingga berjumiah RM5,045,800. Suspek mengarahkan mangsa sendiri memantau pergerakan wang dan keuntungan pelaburan melalui E-wallet Atomic yang diberikan oleh suspek.

“Mangsa dapat melihat keuntungan pelaburan beliau sehingga mencecah RM 7 juta tetapi apabila hendak mengambilnya suspek memberikan berbagai alasan malah meminta mangsa membayar pelbagai bayaran lain bagi urusan pengambilan keuntungan tersebut.

“Mangsa menyedari telah ditipu setelah akaun pelaburan tersebut tidak dapat diakses dan suspek tidak dapat dihubungi lagi,” katanya.

Sehubungan itu Hussein berkata, polis telah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan sebarang panggilan telefon dari orang yang tidak dikenali.

“Rahsia perbankan dan kad ATM adalah milik peribadi dan jangan sesekali diserahkan kepada orang yang tidak dikenali. Orang ramai yang menerima panggilan dari orang yang tidak dikenali perlu berkongsi pendapat dengan anak-anak, keluarga, saudara-mara, sahabat dan pihak berkuasa untuk mendapatkan pandangan dan nashat sebelum menurut arahan dari pemanggit tanpa usul periksa.

“Bagi kes melibatkan pelaburan matawang kripto (Crytocurrency), pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan pelaburan Cryptocurrency, saham atau apa-apa jenis pelaburan yang ditawarkan secara online melalui media sosial yang kononnya menawarkan pulangan keuntungan yang besar dalam masa yang singkat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette