SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menubuhkan “task force” untuk mengendalikan kes kenderaan berat melebihi had muatan yang menjadi antara faktor penyumbang kepada kemalangan jalan raya.
Pengarah Kanan Penguatkuasanya, Datuk Lokman Jamaan berkata, pasukan bertindak khas itu ditubuhkan pihaknya sejak enam bulan lalu.
“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 60 sitaan dibuat terhadap kenderaan berat yang melebihi 70 peratus dari jumlah muatan dibenarkan.
“Semua sitaan itu sudah didakwa di mahkamah dan dalam proses untuk mendapatkan perintah lucut hak,” katanya pada sidang media, di sini, malam ini.
Terdahulu beliau mengetuai Ops Khas Sempena Tahun Baru Cina 2024 di Plaza Tol Kemuning, di sini.
Turut hadir Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan dan Timbalan Pengarah JPJ Selangor Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat.
Sebelum ini, media melaporkan Plus Malaysia Berhad (PLUS) menggesa semua pihak memberi perhatian lebih serius dan langkah lebih drastik perlu diambil terhadap pemandu serta operator kenderaan berat.
Dalam pada itu, Lokman berkata, task force itu juga akan melaksanakan operasi khas kenderaan berat melebihi had muatan untuk fasa dua selepas perayaan Tahun Baru Cina.
“Operasi itu akan diteruskan secara konsisten dalam usaha memastikan semua pihak mematuhi peraturan had muatan dibenarkan.
“Kami mahu tindakan diambil terhadap pihak yang masih berdegil dan enggan mematuhi peraturan berkenaan,” katanya.
Rabu lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan kenderaan berat dengan muatan berlebihan menjadi antara penyumbang kemalangan jalan raya.
Katanya, isu muatan berlebihan perlu diatasi dengan tindakan tegas menerusi penguatkuasaan bagi mengelakkan permasalahan berkenaan terus berlanjutan. – MalaysiaGazette