Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Persekutuan membatal 16 kesalahan Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019 akan menggugat Enakmen Jenayah Syariah di negeri-negeri lain, kata Ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, keputusan yang diumumkan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah akan mendedahkan kepada risiko pembatalan enakmen-enakmen tersebut.

“Jika dilihat dari mata kasar, keputusan ini boleh mendatangkan impak besar dalam menghakis kuasa serta bidang kuasa Raja-Raja Melayu.

“Walhal, Raja-Raja Melayu termasuk Yang di-Pertuan Agong (YDPA) semasa mengangkat sumpah jawatan mengikut Perkara 37 (1) telah bersumpah untuk memelihara agama Islam pada setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hamzah berkata demikian bagi mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang memutuskan 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Menurut Hamzah, pihaknya akan memohon menghadap YDPA, Sultan Ibrahim dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dalam masa terdekat.

Tambah beliau, ia bagi menyembah maklum suara hati rakyat serta langkah-langkah penyesuaian kepada pemerkasaan yang perlu dilunaskan.

“Pada masa yang sama, saya ingin mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa terdapat Wasiat Raja-Raja Melayu semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang antara lain mewasiatkan ‘Kami mengisytiharkan Islam adalah agama rasmi persekutuan’ dan ‘Kami mengamanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu”.

“Meneliti dengan cermat dan sebagai langkah ke hadapan, menjadi keperluan untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi maksud memperkasakan undang-undang syariah terutamanya berkaitan Hak Menganut dan Mengamal (profess and practice) majoriti rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai sejarah hitam buat umat Islam dan negara.

Beliau mendakwa, keputusan itu akan mengundang bahaya bagi undang-undang syariah di negeri lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast