PUTRAJAYA – Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid berkata, beliau tidak menerima sebarang kecaman berhubung tindakannya melakukan petisyen terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Malah, anak kelahiran Kelantan itu mendakwa dia mendapat sokongan daripada ramai pihak berhubung tindakan tersebut.
“Alhamdulillah saya bersyukur, saya balik Kelantan saya tidak kena kecaman pun, semuanya menyokong saya.
“Kalau yang kata (kecam petisyen), saya rasa itu manipulasi fakta sebab saya tidak masalah,” katanya dalam sidang media di Istana Kehakiman, hari ini.
Dalam sidang media sama Nik Elin berkata, tindakan beliau membuat petisyen berkenaan adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk dirinya.
“Saya buat ni bukan untuk diri saya, saya buat untuk semua dan alhamdulillah setelah dikutuk, dikeji dilaknat. Saya bersyukur,” katanya lagi.
Ditanya adakah beliau akan membuat tindakan sama di negeri-negeri lain, Nik Edin berkata, beliau tidak berhasrat untuk berbuat demikian.
“Insya-Allah takda (ke DUN lain),” jawab Nik Elin.
Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan 16 peruntukan enakmen kesalahan jenayah negeri dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan petisyen Nik Elin Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman. –MalaysiaGazette